suria

Empat Ditahan, Dipercayai Dalam Perjalanan Untuk Menyamun Lagi

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat lelaki yang baru saja menyamun sebuah kafe internet di Jalan Dang Wangi dalam satu sekatan jalanraya di Jalan Ipoh, semasa mereka dipercayai dalam perjalanan untuk menyamun sekali lagi di Sentul, di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata polis juga sedang menyiasat sekiranya mereka juga terlibat dalam satu lagi kes samun yang berlaku di Kepong kira-kira pukul 2 pagi tadi.

Beliau berkata keempat-empat lelaki berumur antara 23 dan 27 tahun yang dipercayai bergerak aktif melakukan samun bersenjatakan parang di sekitar Kuala Lumpur itu ditahan pada kira-kira pukul 5 pagi.

Menurutnya polis turut merampas kereta Proton Wira yang dinaiki mereka, dan sebilah parang yang ditemui dalam kenderaan itu.

Zakaria berkata siasatan awal mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi dan samun, manakala seorang lagi dikehendaki polis Kuantan berkaitan kes gaduh.

"Kami percaya penahanan ini akan dapat menyelesaikan beberapa lagi kes samun di bandar raya," katanya ketika dihubungi di sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain