suria

MARA Terus Relevan Bantu Melayu Dan Bumiputera

KUALA LUMPUR: Mara akan terus relevan sebagai organisasi yang memastikan orang Melayu dan Bumiputera mendapat peluang pendidikan serta bergiat dalam sektor keusahawanan, kata Pengerusinya Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata Mara akan terus melaksanakan tanggungjawabnya sungguhpun ada segelintir pihak yang kini semakin berani mempersoalkan tentang perlembagaan negara dan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

"Saya lihat ada segelintir rakyat kini apabila bercakap soal keadilan, mereka lupa tentang undang-undang, lupa tentang perkara 153 yang termaktub dalam perlembagaan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan kemerdekaan dan Penghayatan Ramadan di Medan Mara di sini.

Sementara itu Idris berkata Mara memperkenalkan Sistem Penilaian 360 Darjah dalam urusan kenaikan pangkat pegawai serta kakitangannya sejak awal tahun ini bagi mempastikan ia dilakukan secara telus.

Beliau berkata melalui sistem baru itu pekerja bukan saja dinilai oleh ketua jabatannya, malahan juga oleh rakan setugas dan orang bawahan agar penilaian secara terperinci dapat dijalankan.

Katanya sistem yang diguna-pakai sebelum ini banyak menerima rungutan dan aduan di mana ada sesetengah ketua jabatan yang tidak bersikap telus dalam membuat penilaian bagi urusan kenaikan pangkat. - BERNAMA

Artikel Lain