suria

Transformasi Pertanian Berjaya Tingkatkan Produktiviti, Pendapatan

JITRA: Transformasi pertanian yang dilancarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) menyaksikan sektor itu berkembang dengan positif dan produk pertanian Malaysia kini mendapat permintaan tinggi di luar negara, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom.

Beliau berkata sasaran utama kerajaan dalam melancarkan transformasi itu dilihat tercapai apabila ia berjaya menambah pendapatan para pengusaha sektor pertanian.

Katanya dalam melaksanakan transformasi itu juga kerajaan menggalakkan penyelidikan dan penggunaan teknoloji maju untuk menghasilkan produk bermutu serta peningkatan produktiviti.

"Hasil yang dicapai cukup memberangsangkan malah jumlah peserta yang menceburi bidang pertanian, penternakan, akuakultur, pemprosesan produk makanan, hiliran dan sebagainya sentiasa meningkat," katanya kepada pemberita di sini.

Mohd Johari yang ditemui pada majlis berbuka puasa bersama lebih 100 pelajar Sekolah Al-Hafiz Lorong Alif di sini, malam tadi berkata persepsi golongan muda terhadap bidang pertanian juga berubah positif apabila ramai menjadi usahawan.

Pada majlis itu Mohd Johari menyampaikan bantuan berupa beras, barang makanan dan wang tunai kepada 150 orang miskin dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Jitra. - BERNAMA

Artikel Lain