suria

Mayat Bayi Lelaki Ditemui Dibuang Dalam Tong Sampah Hospital Melaka

MELAKA: Mayat seorang bayi lelaki ditemui dalam tong sampah di Hospital Melaka di sini, Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Mohd Adnan Abdullah berkata sehubungan itu polis menahan seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an di hospital itu dan teman lelakinya, 20-an, di Batu Berendam di sini.

Beliau berkata pada pukul 7 malam semalam, polis menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan di Hospital Melaka mengenai seorang pesakit wanita yang disyaki mempunyai kesan baru melahirkan anak.

Pengadu melaporkan wanita itu mendakwa melahirkan bayi di dalam tandas di hospital itu dan membuangnya ke dalam tong sampah di kawasan wad kecemasan, katanya.

"Berikutan itu, polis membuat pemeriksaan di semua tong sampah dan bayi yang dalam keadaan sempurna itu ditemui oleh anggota Unit Forensik polis dalam sebuah tong sampah besar pada pukul 1.55 petang ini," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat secara sulit, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mohd Adnan berkata sejak awal Januari lepas, sebanyak lima kes pembuangan bayi dilaporkan di negeri ini. - BERNAMA

Artikel Lain