suria

Tiada Ujian Di Sekolah Rendah Australia

SAYA bukanlah seorang yang mempunyai ijazah dalam bidang pendidikan, namun minat mendalam saya dalam bidang ini telah menyebabkan saya acapkali mengkritik sistem persekolahan, dalam penulisan-penulisan saya terutamanya di Melbourne tempat di mana saya berada sekarang.

Sehinggalah saya dipanggil oleh pihak sekolah anak saya untuk menjelaskan keadaan sebenar sistem persekolahan yang diamalkan di sini. Kesemua anak saya bersekolah di University Park Primary School, sebuah sekolah umum dibawah seliaan Kerajaan Victoria. Untuk pengetahuan umum, sistem persekolahan di sini dikendalikan oleh kerajaan negeri, berbeza dengan sistem di negara kita, di bawah pengurusan dan pentadbiran kerajaan pusat.

Pihak sekolah amat gusar dengan kritikan saya dalam media- media massa, terutamanya apabila saya menyoal sistem yang begitu relaks yang diamalkan oleh sekolah-sekolah di Australia khususnya di peringkat rendah. Antara konsep relaks yang saya maksudkan ialah tiadanya homework (kerja sekolah) dan tiadanya buku teks yang khusus sepanjang tahun pengajian.

Kerajaan victoria ketika ini mengamalkan polisi tanpa yuran persekolahan kepada anak-anak warganegara, penduduk tetap serta pelajar yang ditaja dengan biasiswa. Kelonggaran ini merupakan strategi kerajaan Brumby agar ramai orang datang tinggal di sini dan secara tidak langsung menggalakan pertumbuhan ekonomi setempat.

Pihak sekolah sangat mengambil berat akan isu-isu yang saya bangkitkan sehingga mereka menetapkan satu hari yang khusus untuk saya diberi penerangan terperinci tentang sistem persekolahan di sini. Pagi itu saya hadir dengan hati yang skeptik. Saya disambut mesra oleh tenaga pengajar di situ dan terus dibawa ke sebuah kelas.

KAGUM

Sekolah ini tidaklah sebesar mana, sekadar dalam 200 orang pelajar keseluruhan daripada pra sekolah sehinggalah ke tahun enam. Akan tetapi satu perkara yang saya perhatikan ialah kelengkapan sekolah amat mengagumkan.

Ia mempunyi padang bersaiz dewasa, siap dengan kemudahan untuk permainan bolasepak, kriket dan Australian Football atau dikenali sebagai footy. Padang ini juga mesra kanak-kanak dengan adanya sand pit (kotak pasir), padang permainan kanak-kanak dan dinding pemanjat (wall climbing).

Sekolah ini juga dilengkapi dengan dewan tertutup untuk kegiatan sukan dalam dewan, bilik muzik, bilik komputer, bilik sakit (sick bay), bilik guru, perpustakaan, bilik kegiatan seni tangan, kantin, sistem pembesar suara yang menyeluruh dan pejabat.

Bangunan sekolah ini hanya setingkat dibahagikan kepada beberapa blok yang dipisahkan menerusi gelanggang bola keranjang. Waktu persekolahan bermula pada jam 9 pagi dan berakhir pada jam 3.30 petang.

Waktu permulaan dan pengakhiran sesebuah sekolah di sini bergantung sepenuhnya ke atas pengurusan sekolah. Kerana ada sekolah yang bermula awal dan sebaliknya. Masuk sahaja ke dalam bilik darjah, menyebabkan saya terus teruja, melihat jumlah pelajar dengan kemudahan yang sedia ada.

KERJA SEKOLAH

Saya difahamkan setiap kelas tidak dibenarkan melebihi 25 orang pelajar sahaja. Setiap bilik darjah dilengkapi dengan Interactive digital board (papan digital interaktif).

Semua bahan pengajaran dimuat turunkan serta dipaparkan di situ agar semua orang boleh melihatnya dengan jelas, tanpa perlu adanya sebarang buku teks. Setelah diberi sedikit demonstrasi pengajaran, saya dibawa pula ke pejabat untuk berbincang.

Bezanya, pejabat di sekolah ini ianya merupakan ruang pertama yang akan dijumpai apabila memasuki sekolah, jauh susun aturnya dengan bangunan sekolah di Malaysia. Rasionalnya ialah apabila saya bertanya, pengetua mudah memberi penjelasan. Setiap tetamu harus datang terus ke pejabat tanpa menggangu mana-mana bilik darjah. Logik juga alasan tersebut.

Jelasnya lagi, sistem persekolah rendah di sini, memang tidak memberi kerja sekolah kerana penekanan terhadap kebolehan membaca, memahami serta menjadi kritikal terhadap sesuatu penulisan lebih diutamakan.

Di sekolah, para pelajar diajar naratif sesebuah cerita, agar mereka dapat menjana pemikiran dan menjadi kreatif. Kerana bagi mereka, jika pelajar gagal menguasai kebolehan tersebut maka akan pincanglah masa depannya.

Matematik pula diajar menerusi logik penyelesaian tanpa elemen penghafalan, dan setiap pelajar diberi akses kepada perisian satu pertandingan matematik talian terus dengan pelajar-pelajar lain di seluruh dunia. Secara tidak langsung ia memupuk perasaan ingin bersaing dengan pelajar sama usia di seluruh dunia.

Menariknya program ini ditaja sepenuhnya oleh sebuah syarikat makanan segera popular di Australia. Kaedah pengajar sains lebih bersifat praktikal dengan memberi penerangan secara hands-on kepada subjek.

SUBJEK PENTING

Pendidikan jasmani pula merupakan subjek penting di sini. Pelajar diajar bagaimana untuk skipping dengan betul, malah ada pertandingan peringkat kebangsaan untuk aktiviti ini.

Kenapa skipping? Kerana ia senaman mudah dan murah untuk setiap peringkat umur. Pelajar juga diajar untuk menggunakan anggota badan secara betul, kaedah psycho motor yang sering di pandang remeh di negara kita.

Maka tidak hairanlah negara ini boleh maju dalam bidang sukan kerana semangat untuk bersenam dengan betul telah diterap di peringkat paling awal dalam era persekolahan. Seni juga diberi penekana utama, kerana seni dapat megembangkan penggunaan otak sebelah kanan, agar para pelajar menjadi seorang yang lebih seimbang.

TIADA UJIAN KHUSUS

Ironinya, walaupun semua ini diberi tumpuan, tiada ujian khusus diberikan kepada para pelajar. Para pelajar dinilai sepanjang tahun tanpa mereka sedari. Secara tidak langsung phobia terhadap peperiksaan terhapus dengan sendirinya dan kepada ibu bapa pula tidak perlu menghabiskan wang untuk menghantar anak ke kelas tuisyen kerana hendak memastikan anak skor dengan cemerlang dalam UPSR.

Pendek kata penilaian yang mereka buat lebih berbentuk tepat. Segala laporan penilaian akan dibincang bersama antara guru dan ibubapa pelajar agar dapat mencari resolusi peningkatan terhadap seseorang pelajar itu.

Sistem sini juga bermakna, jika pelajar itu gagal memenuhi standard yang telah ditetapkan maka mereka akan kekal di kelas tersebut sehingga mereka mampu melonjak naik dalam perkembangan diri mereka. Maka tidak hairanlah jika kelihatan ada beberapa pelajar yang agak lebih matang wajah mereka dalam sesuatu darjah.

Baru-baru ini kedengaran di Malaysia desakan agar dihapuskan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang telah menjadi tradisi persekolahan di negara kita sejak sekian lamanya (dulu dikenali dengan nama Ujian Penilaian Darjah Lima).

Melihat kepada sistem yang ada di Australia ini mungkin para pembuat dasar harus memikirkannya secara serius dan mungkin ada baiknya dihapuskan terus sistem penilaian atau peperiksaan untuk peringkat sekolah rendah.

Ini kerana, sekolah rendah bukanlah tempatnya untuk menguji tahap pencapaian anak-anak. Sekolah rendah sepatutnya menjadi tempat mereka mengeksplorasi apa yang ada dalam diri mereka tanpa perlu rasa bersalah sama ada jawapan mereka betul atau tidak.

DR AHMAD ZAHARUDDIN SANI SABRI merupakan Honarary Visiting Scholar di University of Melbourne, Australia. Beliau boleh dihubungi menerusi [email protected]

Artikel Sebelum

Artikel Lain