suria

Dua Pelajar Maut Dalam Kemalangan Berasingan Di Pahang

KUANTAN: Seorang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan seorang pelajar tingkatan tiga maut selepas terbabit dalam dua kemalangan berasingan di sini dan Temerloh semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata mahasiswa Mohamad Assuandie Mohamad Aspar, 22, maut apabila motosikal yang ditungganinya berlanggar dengan sebuah kereta di KM 122 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur berhampiran lampu isyarat Taman Tas dekat sini pada pukul 7.30 malam tadi.

Mangsa, yang berasal dari Kampung Kurnia Bukit Pekan, Kampar, Perak, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan akibat kecederaan parah di kepala, katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Dalam kejadian di Temerloh, katanya, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang, Zazleen Zulkasawari Zulkefely, 15, meninggal dunia apabila motosikal yang ditungganinya bersama rakan sekolah berusia 16 tahun melanggar sebuah kenderaan pikap Toyota Hilux di KM 11, Jalan Kuantan-Gambang.

"Pada kejadian pukul 3.30 petang, mangsa dan rakannya yang tidak memakai topi keledar merempuh bahagian depan kenderaan itu yang membelok ke kanan jalan di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata, mangsa dan rakannya mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk mendapat rawatan.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia dua jam selepas menerima rawatan di hospital itu manakala pemandu kereta pikap itu tidak mengalami kecederaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain