suria

Tidak Berlaku Lambakan Durian & Cempedak Musim Buah Kali Ini

SHAH ALAM: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menjangkakan tidak akan berlaku lambakan buah-buahan bermusim terutamanya durian dan cempedak di Pahang, Johor, Kedah, Perlis dan Perak pada musim kali ini.

Pengerusinya, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin berkata, lambakan itu tidak berlaku sebab Fama sedang memperhebatkan usaha memproses buah-buahan itu menjadi serbuk sebagai bahan campuran kuih-muih, ais krim, dan coklat.

"Fama telah menyediakan sembilan pusat memproses durian dan cempedak di seluruh negara bagi mengatasi masalah lambakan buah-buahan bermusim tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jualan Buah-Buahan Bermusim 2010 di perkarangan Plaza Perangsang dekat sini.

Karnival tujuh hari yang akan berakhir Ahad ini antara lain bertujuan mengatasi lambakan buah-buahan bermusim yang berlaku serentak di seluruh negara dan memberi peluang kepada usahawan menjual sendiri hasil buah-buahan tersebut dari negeri masing-masing.

Badruddin berkata, Fama berjaya memasarkan pelbagai buah-buhan bermusim bernilai RM50,000 melalui kranival itu dan yakin mencatat jualan sehingga RM100,000.

Sementara itu, Badruddin berkata beliau telah pun memohon kepada pengurusan Plaza Perangsang bagi membantu Fama menyediakan gerai buah-buahan bermusim secara lebih teratur dan bersih.

Artikel Lain