suria

Siasatan Kes Kematian Bekas Adun Dan pembantu 90 Peratus Siap

SHAH ALAM: Polis hampir selesai melengkapkan kertas siasatan berhubung kes kematian bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) kawasan Permatang Datuk Abdul Aziz Mohd Noh bersama bekas pembantu peribadinya Siti Rohana Ismat pada Selasa lepas, kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata setakat ini, 90 peratus siasatan kes berkenaan telah siap termasuk dalam mengenal pasti motif kejadian yang tidak melibatkan pihak ketiga.

"Kita sudahpun merakam percakapan lebih 15 saksi termasuk anggota keluarga kedua-dua belah keluarga dan beberapa lagi akan dipanggil hari ini dan Sabtu untuk bantu siasatan," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan bendera Jalur Gemilang kepada kakitangan Nationwide Express sempena sambutan Hari Kebangsaan dekat sini.

Abdul Aziz, 64, ditemui mati bersama Siti Rohana Ismat, 43, dengan kesan tembakan pada kedua-dua kepala mereka dalam kereta yang dipandu Abdul Aziz yang terbabas di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Sungai Buloh dekat sini pada 11 pagi Selasa.

Khalid bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai motif kejadian kerana kes masih dalam siasatan.

"Apabila saya kata tidak ada pihak ketiga, apapun motif yang ada adalah antara kedua-dua mangsa. Jadi, motif ini tak perlulah kita hebahkan satu dunia," katanya.

Mengulas mengenai kes yang mengaitkan Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) Tee Boon Hock dengan dakwaan menyalahguna kepala surat dan cop rasmi seorang anggota exco kerajaan negeri bagi mengeluarkan surat sokongan untuk mendapatkan kontrak MPK, Khalid berkata polis sudahpun membawa kertas siasatan berhubung kes itu kepada Pendakwa Raya untuk mendapat arahan lanjut.

"Jadi kertas siasatan itu sekarang berada di Putrajaya dan kita sedang menunggu arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain