suria

Dari Seorang Peguam Kepada Penjamin; Hakim Puji...

KUALA LUMPUR: Seorang peguam membuat keputusan untuk menarik diri daripada terus mewakili seorang tertuduh yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini Selasa, atas alasan mahu menjadi penjamin kepada anak guamnya.

Permohonan itu dibuat secara spontan oleh K.Komathi semasa beliau sedang mengemukakan rayuan peringanan jaminan terhadap N.K Sivakumar yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meragut seorang pekerja swasta.

“Saya akan menarik diri daripada menjadi peguam tertuduh dan akan melantik seorang peguam baru bagi mewakili tertuduh,” kata Komathi yang mengenali tertuduh menerusi pemandu kepada majikannya.

Hakim Zainal Abidin Kamaruddin yang menyifatkan kejadian itu sebagai ‘jarang berlaku’ memuji Komathi sebagai seorang individu yang baik.

Dalam kes ini, Sivakumar, 39, didakwa meragut rantai emas milik P.Satish Kumar, 21, pada pukul 8.30 malam, 28 Julai lalu di hadapan King Hup Motor (KL) Sdn Bhd di nombor 18, Jalan Segambut, di sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Meskipun tidak lagi bergelar peguam kepada tertuduh, Komathi masih memohon supaya mahkamah mengurangkan jaminan RM8,000 yang ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizal Abdul Rahman.

“Tertuduh bekerja sebagai pelayan bar di sebuah hotel dan merupakan anak sulung daripada empat beradik. Dia juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” kata Komathi.

Zainal Abidin selepas menimbangkan rayuan itu menetapkan jaminan pada jumlah RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 September depan sebagai tarikh sebutan bagi lantikan peguam dan penyerahan dokumen.

Beliau juga menetapkan syarat tambahan untuk tertuduh melaporkan diri di Balai Polis Kepong, di sini pada setiap bulan dan melarang tertuduh daripada meninggalkan ibu negara dan Selangor tanpa kebenaran mahkamah.

Artikel Lain