suria

Pembatalan VOA Akan Tingkatkan Kemasukan Pelancong Tulen

PETALING JAYA: Pembatalan pengeluaran visa waktu ketibaan (VOA) untuk pelancong asing adalah satu langkah yang tepat sekiranya tindakan itu bertujuan untuk menjaga keselamatan dan keamanan negara.

Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Michael Chong berkata, keputusan itu tidak menjejaskan industri pelancongan tempatan malah memberi kesan positif kepada sektor itu.

Ini kerana katanya, pengenalan kemudahan VOA telah disalahgunakan oleh segelintir pelancong asing bagi tujuan jenayah atau salah laku.

“Golongan ini sebenarnya tidak membantu kepada sumber pendapatan pelancongan kerana mereka menggunakan VOA untuk tujuan lain.

“Pembatalan itu sekaligus meningkatkan bilangan pelancong asing tulen yang benar-benar datang ke Malaysia untuk melancong,” katanya kepada mStar Online pada Isnin.

Beliau mengulas keputusan kerajaan hari ini untuk tidak lagi memperkenalkan semula VOA kepada pelancong asing di pintu masuk di negara ini.

Michael berkata, tidak dinafikan kemudahan VOA diperkenalkan untuk menggalakkan kedatangan pelancong asing, tetapi kemudahan itu memberikan lebih banyak kesan negatif berbanding positif.

Jelasnya, pembatalan itu secara tidak langsung akan menghalang kemasukan jenayah membabitkan warga asing ke negara ini.

“Selepas ini warga asing perlu memohon visa di negara masing-masing untuk berkunjung ke Malaysia dan cara ini akan membabitkan proses saringan,” katanya.

Mengenai kemungkinan pembatalan itu sekadar memburuk imej negara terhadap kedatangan pelancong asing, Michael menjelaskan setiap kemudahan yang diperkenalkan akan melalui kajian dan penilaian.

Beliau menambah, jika ia sepatutnya dijadikan sebagai kemudahan namun memberikan kesan negatif kerana disalah guna, maka pelaksanaannya wajar dikaji semula.

“Setiap negara mempunyai undang-undang dan begitu juga Malaysia. Kenapa VOA tidak boleh dikaji semula jika ia bertujuan melindungi negara daripada ancaman jenayah?

“Tiada siapa yang akan mengasihani kita sekiranya negara bermasalah hanya kerana kemudahan itu. Jadi, kita sendiri perlu berusaha memikirkan cara untuk menjaga keamanan negara lebih strategik,” ujarnya.

VOA Bukan Faktor Utama

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pengurusan Pelancongan, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Lim Lay Kian pula berkata, pembatalan kemudahan VOA itu sebenarnya membantu memberikan imej baik kepada negara.

Menurut beliau, kerajaan membuat keputusan itu setelah menimbang segala faktor termasuklah isu jenayah import daripada luar negara yang dikhuatiri akan menjejaskan keamanan dan keselamatan negara.

“Pelancong asing tidak akan datang ke Malaysia sekiranya negara dibebani masalah jenayah atau salah laku yang tidak terkawal kerana keselamatan merupakan antara faktor mereka mengambil keputusan untuk melancong.

“Kebiasaannya, tarikan seperti warisan, destinasi membeli-belah dan kawasan pelancongan menarik akan dijadikan tumpuan pelancong asing, tetapi mereka juga mengambil kira soal reputasi sesebuah negara yang ingin dilawati,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Abdul Rahman Othman turut berpendapat bahawa pembatalan VOA akan meningkatkan bilangan pelancong asing tulen.

“Segelintir pihak sahaja mengambil kesempatan terhadap kemudahan yang diperkenalkan seperti VOA. Pelancong asing tulen tetap mahu melancong ke negara ini.

“Pembatalannya (VOA) tidak menjejaskan sektor pelancongan. Apa yang lebih penting adalah usaha kita meningkatkan mutu produk pelancongan sebagai tarikan utama,” katanya.

Akhbar mingguan Bahasa Malaysia The Star, Mingguan mStar sebelum ini pernah membuat laporan eksklusif mengenai penyalahgunaan kemudahan itu di kalangan pelancong asing.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan), Datuk Raja Mohd Raja Ismail dalam laporan eksklusif itu menyifatkan VOA bukan punca kemasukan jenayah ke negara ini tetapi tidak menafikan ia terdedah kepada penyalahgunaan visa.

Tambahnya lagi, kesukaran untuk mengenal pasti warga asing yang tinggal lebih masa melalui kemudahan VOA merupakan masalah yang dihadapi Jabatan Imigresen.

“Di mana mereka? Inilah masalah kita yang tidak tahu ke mana mereka pergi,” soalnya.

Artikel Lain