suria

Bekas Pelatih PLKN Diutama Jadi Jurulatih PLKN

RAWANG: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) memberi keutamaan kepada bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk menjadi sebahagian daripada jurulatih program itu.

Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata mereka yang berminat bagaimanapun perlu menepati syarat yang ditetapkan iaitu sekurang-kurangnya memiliki Diploma dan tubuh badan yang sihat.

"Jawatan jurulatih fizikal tidak sesuai dimohon bekas pelatih program itu kerana mereka tidak akan menepati syarat kelayakan yang ditetapkan.

"Bagi jurulatih fizikal, kami memilih mereka dari kalangan bekas pasukan keselamatan seperti tentera kerana latihan fizikal seperti 'flying fox' adalah aktiviti yang agak lasak," katanya selepas merasmikan Hari Bersama Media di Kem PLKN Temasya Rimba Templer di sini, Sabtu.

Abdul Hadi berkata pada masa ini terdapat 10 jurulatih untuk setiap kem (tidak termasuk jurulatih fizikal), dengan nisbah 1:25.

Gaji bagi jurulatih multiskill ialah RM1,600 hingga RM1,700 sebulan termasuk elaun serta tempat tinggal dan makanan percuma, katanya.

Program bersama media yang julung kali diadakan selama dua hari itu disertai 11 pengamal media yang bertujuan merapatkan hubungan antara media dan pelatih PLKN, di samping menghargai sumbangan media dalam menaikkan nama program itu.

"Program ini juga kita adakan khas untuk media merasai sendiri pengalaman menjadi pelatih PLKN dan memberi gambaran sebenar kepada mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain