suria

Polis Tahan Enam Lelaki Dipercayai Terlibat Proses dan Edar Dadah

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan enam lelaki dipercayai terlibat dalam aktiviti pemprosesan dan pengedaran dadah di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) dalam satu serbuan di sebuah rumah di Sungai Semambu semalam.

Ketua Polis Daerah SPT ACP Azman Abd Lah berkata kesemua mereka yang berumur antara 20 dan 30 tahun itu ditahan dalam serbuan pada kira-kira pukul 8 pagi di rumah yang dimiliki salah seorang suspek.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, polis menemui 33 paket kecil dadah jenis heroin, satu paket kecil ice, selain 120 pil khayal yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM7,000.

"Selain dadah, turut dijumpai adalah peralatan untuk memproses dadah seperti pita dan alat penimbang untuk membungkus dadah di dalam rumah itu," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Katanya antara yang dirampas dalam serbuan itu ialah tiga komputer riba serta pengecas, satu kamera video, serta pemutar skru, dan menurutnya polis turut menemui sebatang pokok ganja di belakang rumah salah seorang suspek.

"Siasatan juga mendapati kumpulan ini terlibat dalam kes curi motosikal dan ragut di sekitar daerah ini. Kami turut rampas satu pistol mainan dan dua motosikal yang nombor enjin dan chasisnya didapati dikaburkan," katanya.

Azman berkata kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan. -BERNAMA

Artikel Lain