suria

SPRM Mula Siasat Kes Pemberian Kontrak UMS

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Sabah telah pun memulakan siasatan berhubung dakwaan wujudnya penyelewengan dalam pemberian kontrak oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bagaimanapun, pengarahnya Jalil Jaafar berkata siasatan kes berkenaan masih di peringkat awal, dan belum ada individu tertentu yang dipanggil untuk memberi keterangan.

"Kita sudah mulakan siasatan," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan seminar pengukuhan dan pemantapan tadbir urus terbaik sektor awam Sabah di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas status siasatan berhubung kes itu selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengarahkan SPRM Sabah untuk menyiasat kes berkenaan.

Jalil berkata SPRM juga sedia untuk menyiasat kes pengambilan batu dari sungai di Kampung Mantob, Kiulu yang dikatakan digunakan untuk tujuan komersial atau pengaspalan jalan raya Pukak-Mantob di daerah Tuaran.

Sebelum ini, aktivis Sosial Pengguna dan Alam Sekitar Datuk Patrik Sindu meminta SPRM supaya menyiasat kemungkinan wujud unsur rasuah dalam isu pengambilan batu dari sungai di Kampung Mantob itu.

Patrick berkata aktiviti pengambilan batu dari Sungai Mantob itu jelas tidak mendapat restu atau perakuan Jabatan Perikanan Sabah seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan.

Isu pengambilan batu dari Sungai Mantob itu tersebar melalui Facebook baru-baru ini, dan rata-rata mereka yang membacanya merayu pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam aktiviti pengambilan batu dari Sungai Mantob. - BERNAMA

Artikel Lain