suria

Kerajaan Cadang Perkenal Permohonan Pasport Secara Online

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen sedang meneliti cadangan untuk melaksanakan kemudahan permohonan pembaharuan pasport secara online.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Lee Chee Leong berkata, langkah itu bagi memudahkan proses pembaharuan pasport oleh orang ramai yang pada masa ini perlu melakukannya di kaunter Jabatan Imigresen yang mengambil masa dua jam.

"Pengenalan kaedah permohonan pembaharuan pasport secara online akan memberi kebaikan kepada orang ramai antaranya kaedah ini dapat menjimatkan masa tanpa perlu hadir ke kaunter.

"Proses ini juga boleh dilakukan oleh pemohon pada bila-bila masa sahaja mengikut kapasiti pemohon sendiri," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara, di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Sim Khen Hui yang ingin tahu sama ada kerajaan akan menghadapi masalah dalam melaksanakan permohonan pembaharuan pasport secara online dan kemudahan yang akan dinikmati orang ramai menerusi kaedah itu.

Lee berkata, kaedah itu juga akan menggalakkan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan elektronik secara lebih meluas di negara ini.

"Dari segi penjimatan kos, kerajaan akan menikmati faedah penjimatan tenaga kerja selain meningkatkan mutu yang lebih efisien dengan hanya memfokuskan kepada permohonan kali pertama di kaunter-kaunter," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan sistem itu tidak akan mendatangkan masalah atau kekangan dan kerajaan akan memastikan soal keselamatan dan kestabilan sistem untuk urusan secara online itu berada pada tahap terbaik.

Menjawab soalan Sim yang ingin tahu mengenai keberkesanan tindakan kerajaan mengadakan kaunter perkhidmatan pengurusan permohonan kad pengenalan dan pasport di kebanyakan agensi dan tempat strategik, Lee berkata, kementerian sedang meneliti cadangan lokasi untuk menempatkan kaunter pendaftaran.

Beliau berkata, bagi urusan permohonan kad pengenalan, kementerian melalui Jabatan Pendaftaran Negara telah melaksanakan program MyDaftar dan Unit Khas Bergerak (UKB) yang akan ke lokasi strategik untuk menerima, memproses dan mengeluarkan kad pengenalan kepada mereka yang layak.

"Program ini dilaksana secara berterusan mengikut jadual yang telah ditetapkan dan mensasarkan kawasan-kawasan yang sukar dihubungi melalui jalan darat terutama di kawasan pedalaman, kampung-kampung Orang Asli dan pribumi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain