suria

Kenyataan MB Selangor Mengenai Bekalan Air Mengelirukan Pengguna

KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendakwa bekalan air bagi Selangor mencukupi sehingga 2019, adalah tidak tepat dan sangat mengelirukan pengguna.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin Fah Kui berkata Laporan Kajian Sumber Air Negara 2000-2050 yang diterbitkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri mengunjurkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menghadapi defisit bekalan air dirawat menjelang akhir 2014.

Ini berikutan permintaan yang meningkat berbanding kapasiti bekalan di mana permintaan air mengunjurkan meningkat kepada 4,907 juta liter sehari (jlh) berbanding kapasiti bekalan sebanyak 4,431 jlh, yang akan mewujudkan kekurangan 476 jlh di ketiga-tiga negeri berkenaan dalam tempoh itu, katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Beliau berkata laporan itu juga mengunjurkan purata peningkatan permintaan bekalan air terawat bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya meningkat antara dua hingga 3.5 peratus setahun.

Untuk itu, projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor perlu dilakukan dengan segera bagi menampung peningkatan permintaan yang semakin meningkat, katanya.

Beliau berkata kerajaan sentiasa mengambil sikap berhati-hati dan teliti dalam melaksanakan sesuatu projek terutama kemudahan awam yang melibatkan kesejahteraan orang ramai.

"Selari dengan itu segala perancangan untuk melaksanakan sesuatu projek bekalan air dibuat secara rapi berpandukan Laporan Kajian Sumber Air Negara 2000-2050," katanya.

Berdasarkan laporan itu, unjuran terperinci peningkatan permintaan bekalan air bagi seluruh negara, terutama kawasan kritikal sentiasa dikemaskini oleh kementerian dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain