suria

Ibu Tunggal Bakal Nikmati Kehidupan Selesa Di Rumah Baru

KANGAR: Seorang ibu tunggal, Che Azizah Che Ajib, 39, yang selama ini mendiami sebuah rumah yang daif di Kampung Pondok dekat sini bakal menikmati kehidupan lebih selesa apabila ditawarkan sebuah rumah yang dibina secara gotong-royong untuknya. Gotong-royong anjuran Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Perlis itu disertai kira-kira 100 peserta terdiri daripada anggota-anggota Regimen 504 Askar Wataniah, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Institut Kemahiran MARA (IKM), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis dan Pusat Giat MARA (PGM).

Pengerusi JAKPAW Perlis Datuk Azizan Hamid yang ditemui semasa meninjau gotong-royong itu, berkata kegiatan itu adalah antara program kemasyarakatan yang membabitkan anggota-anggota tentera terutama bagi membaiki rumah yang daif secara gotong-royong.

Mengenai pembinaan semula rumah ibu tunggal itu, Azizan yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, berkata pada asalnya rumah itu hanya akan dibaiki namun setelah mendapati keadaannya begitu daif, pihaknya membuat keputusan untuk membina semula melalui wang sumbangan Baitulmal Perlis berjumlah RM24,000.

Rumah batu tiga bilik itu dijangka siap pembinaannya dalam tempoh dua minggu, katanya.

Sementara itu, Che Azizah yang mempunyai lima anak iaitu dua lelaki dan tiga perempuan antara 13 dan 22 tahun bersyukur kerana diberi perhatian oleh JAKPAW untuk membina rumah yang lebih selesa berbanding rumah yang diduduki sekarang.

Katanya, beliau tidak berupaya untuk membaiki rumahnya sendiri sebelum ini kerana pendapatannya yang kecil dan bergantung hidup dengan kerja mengambil upah mengemas rumah para penduduk bagi menyara keluarga.

Sejak kebelakangan ini, Che Azizah berkata beliau tidak lagi berupaya melakukan kerja-kerja itu dengan sempurna selepas menghidap kanser payu dara.

Empat tahun lalu beliau pernah memohon bantuan Baitulmal untuk membaiki rumah dan bersyukur kerana hasratnya untuk menduduki rumah yang lebih selesa terlaksana juga.

Beliau turut menerima bantuan persekolahan anak-anaknya berjumlah RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak beberapa tahun lalu. - BERNAMA

Artikel Lain