suria

Enam Ditahan Proses Air Ketum Di Jerlun

JERLUN: Enam lelaki berumur antara 20 dan 65 tahun ditahan ketika sedang memproses, menjual dan membeli air ketum dalam serbuan yang dilakukan oleh Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di di dua buah rumah Kampung Tanduk Kedabu di sini pada Selasa.

Serbuan hari ini merupakan kali keempat di kedua-dua buah rumah yang berhampiran itu pada tahun ini.

Pegawai Operasi Bahagian Narkotik IPK Kedah, Cif Inspektor Mohd Shaharan Tarmizi berkata operasi kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu dilakukan hasil maklumat orang awam.

"Pihak polis telah membuat empat kali serbuan di kedua-dua rumah itu sepanjang tahun ini dan kali terakhir serbuan dibuat pada bulan Mei lepas," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini.

Beliau berkata tiga daripada enam yang ditahan itu merupakan anak-beranak dan saudara dengan seorang daripada mereka pernah ditahan dalam tiga serbuan sebelum ini manakala tiga lagi adalah pelanggan.

"Dalam operasi itu, polis merampas 140 bungkus air ketum yang telah diproses, 11 kilogram daun ketum, dua tong gas, dua dapur masak dan dua periuk besar," katanya.

Mohd Shaharan berkata kegiatan mereka itu aktif sejak dua tahun lepas dan pokok ketum juga ditanam di belakang salah sebuah rumah yang diserbu.

"Kesemua mereka dibawa ke IPK dan akan menjalani ujian air kencing. Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih empat tahun dan denda tidak lebih RM10,000," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain