suria

Tabung Rayuan Hari Pahlawan Berjaya Kutip RM5.5 Juta Setakat Ini

KUALA LUMPUR: Tabung Rayuan Hari Pahlawan tahun ini telah mengumpulkan RM5.5 juta setakat ini, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

"Sasaran kita adalah mengumpul sebanyak yang mungkin. Tahun ini, saya gembira kerana walaupun kempen Rayuan Hari Pahlawan untuk tahun ini baru bermula, kita sudah dapat mengumpul sebanyak RM5.5 juta yang disumbangkan oleh pihak korporat, jadi saya harap lebih ramai yang akan menderma nanti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Rayuan Hari Pahlawan 2010 di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang.

Kempen Rayuan Hari Pahlawan diadakan setiap tahun bertujuan mengumpul dana daripada orang ramai dan syarikat korporat untuk diagihkan kepada bekas-bekas tentera dan keluarga mereka yang memerlukan bantuan. Pada tahun lepas, kempen ini telah dapat memungut lebih RM880,000.

Buat julung kalinya kempen yang bertemakan "Rakyat Sejahtera Jasa Pahlawan Dikenang" itu dilaksanakan bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV) dengan dibantu oleh Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) dan berlangsung selama tiga bulan bermula 1 Julai hingga 30 September ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Rosmah berkata, biarpun kerajaan telah memperuntukkan jumlah tertentu untuk membantu bekas tentera, namun ia masih tidak mencukupi ekoran pertambahan mereka yang bersara setiap tahun.

"Selain menubuhkan JHEV pada 2002, peruntukan kewangan juga telah diperuntukkan setiap tahun bagi melaksanakan pelbagai aktiviti dan program kebajikan seperti Skim Bantuan Kebajikan dan Pendidikan dan tahun ini saja RM27 juta telah diperuntukkan.

"Namun tidak mencukupi kerana ketika ini saja terdapat seramai 121,000 pesara tentera dan ia dijangka meningkat, disebabkan itu orang ramai perlu tampil menghulurkan bantuan," katanya.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab dan kewajipan semua rakyat untuk menghargai jasa dan pengorbanan bekas tentera dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.

Rosmah yang juga penaung Rayuan Hari Pahlawan 2010 berkata, setiap penderma akan diberikan lambang Bunga Raya dan digalakkan memakainya sepanjang tempoh kempen tersebut.

Sementara itu, dalam ucapannya Ahmad Zahid berkata, walaupun sumbangan yang diberikan sedikit, namun ia dapat membantu meringankan kesusahan yang dialami bekas tentera.

"Sumbangan ini agak berbeza pada tahun sebelumnya dan saya mengharapkan lebih ramai akan tampil menghulurkan bantuan.

"Mudah-mudahan pada tahun hadapan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan meminta lebih ramai tokoh korporat untuk tampil hulurkan bantuan bukan kerana paksaan tetapi dengan kerelaan," katanya.

Dalam majlis itu, tiga penerima terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU), balu dan anak yatim menerima bantuan sebanyak RM500. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain