suria

Janin Ditemui Ditanam Dekat Bahu Jalan Raya

PETALING JAYA: Janin dipercayai berusia empat bulan ditemui dibalut dengan kain putih dan ditanam dekat bahu jalan raya di Jalan Puteri 12, Bandar Puteri Puchong dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abd Razak Elias berkata janin yang cukup sifat itu ditemui oleh seorang penyelia pemotong rumput yang kebetulan hendak membersihkan kawasan itu kira-kira pukul 5.30 petang.

"Lelaki itu yang curiga dengan struktur tanah di situ yang terdapat timbunan batu yang masih baru, bertindak mengalihkan batu-batu tersebut sebelum melihat kesan tanah dikorek.

"Berasa curiga dengan keadaan itu, saksi kemudiannya menghubungi polis sebelum polis yang bergegas ke tempat kejadian menemui janin bayi perempuan yang ditanam sedalam enam inci," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata berdasarkan keadaannya, janin itu dipercayai baru ditanam oleh individu yang tidak bertanggungjawab di kawasan itu 24 jam selepas digugurkan secara paksa.

"Kita percaya, wanita tersebut melakukan pengguguran secara paksa sebelum wanita itu atau individu lain menanam janin malang itu," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan janin tersebut dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Katanya hospital dan klinik swasta serta individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di talian 03-89484822 atau balai polis terdekat bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain