suria

TPM: Situasi Pasir Di Selangor Dibuat Seolah-olah Sukar Diselesaikan...

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kerajaan Selangor tidak boleh berdiam diri berhubung isu perlombongan pasir secara haram yang kini berleluasa di negeri itu.

Dalam nada yang berjenaka, Muhyiddin menempelak dengan berkata, ia bukanlah satu isu yang terlalu rumit untuk ditangani. “Penyelesaian kepada isu pasir di Negeri Selangor ini sebenarnya agak jelas tetapi ia dibuat seolah-olah kelihatan sukar untuk diselesaikan,“ ujar Muhyiddin lagi. Beliau menambah, situasi ini menunjukkan pentadbiran yang diketuai oleh Tan Sri Khalid Ibrahim tidak dapat mengurus isu ini walaupun mempunyai seorang penasihat ekonomi iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengenai krisis air di negeri itu, Muhyiddin menambah, pentadbiran Khalid berhadapan dengan satu krisis yang berat kerana mereka terjerat dalam janji yang terkandung dalam manifesto pilihan raya umum 2008 yang menjanjikan air percuma kepada rakyat Selangor.

Muhyiddin berkata demikian kepada para pemberita selepas melancarkan Sukan Sekolah-sekolah Asean di Cheras, Selasa.

Katanya, Kerajaan Selangor perlu segera menyelesaikan masalah air di negeri itu kerana negeri berkenaan tidak boleh berhadapan dengan gangguan bekalan air memandangkan terdapat banyak kawasan industri yang memerlukan bekalan air.

Ahad lalu, Muhyiddin berkata, Negeri Selangor kini berhadapan dengan defisit yang besar berikutan keputusannya untuk menanggung kos memproses air dan situasi ini boleh menyebabkan negeri itu berada dalam situasi bankrap.

Sementara itu di GEORGE TOWN, Kerajaan Negeri telah membentuk sebuah jawatankuasa khas yang terdiri daripada tiga anggota untuk menyiasat dakwaan aktiviti melombong pasir secara haram di Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan.

Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Exco Kerajaan Negeri, Law Choo Kiang, kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Beliau menambah, jawatankuasa ini telah diberi tempoh seminggu untuk menyediakan laporan kepada kerajaan.

Lagi dua anggota ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tengah, Ong Chin Wen dan Adun Sungai Bakap, Maktar Shapee.

“Jangan risau, saya akan umumkan kandungan laporan tersebut bila siap nanti,” ujarnya ketika ditemui di Dewan Sri Pinang, Selasa, selepas menghadiri Ulangtahun Kelahiran Yang di-Pertua Negri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Pada 10 Julai lalu, akhbar The Star melaporkan mengenai sebuah kawah sedalam 30 meter di tengah-tengah bekas ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Tasek, Lima Kongsi di Nibong Tebal, Seberang Prai Selatan yang dipercayai kesan daripada kegiatan mengorek pasir.

Lim, bagaimanapun berkata, laporan awal yang disediakan oleh kakitangan kerajaan negeri mendapati, aktiviti melombong itu adalah sah dan mempunyai permit. Namun begitu, Lim memberi jaminan, tindakan akan tetap diambil sekiranya didapati aktiviti itu adalah haram.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain