Penalti Sehingga RM1 Juta Jika Ambil Untung Melampau - Semasa | mStar

Penalti Sehingga RM1 Juta Jika Ambil Untung Melampau

KUALA LUMPUR: Denda sehingga RM1 juta boleh dikenakan kepada mana-mana syarikat atau pertubuhan yang didapati sengaja menaikkan harga barang dan perkhidmatan sewenang-wenangnya untuk mengaut keuntungan melampau.

Hukuman itu antara yang dicadangkan dalam Rang Undang-Undang Kawalan Harga dan Antipencatutan 2010 yang dikemukakan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe mengemukakan rang undang-undang itu yang bertujuan mengekang peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Berdasarkan rang undang-undang itu, kerajaan perlu menetapkan harga siling dan mewartakan harga itu sebelum tindakan boleh diambil terhadap peniaga yang menjual barangan melebihi harga siling.

Menurut akta itu, mencatut bermakna meraih keuntungan tinggi yang tidak munasabah.

Jika disabit kesalahan, mana-mana pertubuhan atau perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan kali pertama dan didenda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan kedua dan berikutnya.

Jika seseorang itu bukan pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan bagi kesalahan kali pertama.

Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Rang Undang-undang itu turut menyebut mengenai penalti sehingga RM100,000 bagi mana-mana pihak yang melanggar perintah penandaan harga bagi barangan harga terkawal.

Selain itu, rang undang-undang itu turut menyentuh mengenai penubuhan Majlis Penasihat Harga untuk menasihati menteri tentang isu-isu berhubung dengan pencatutan dan apa-apa perkara lain yang berhubungan dengan harga barangan dan caj bagi perkhidmatan.

Keanggotaan majlis hendaklah terdiri daripada seorang Pengerusi yang merupakan Ketua Setiausaha kementerian, empat anggota yang mewakili kerajaan dan dilantik oleh menteri serta tidak lebih daripada enam orang anggota lain yang mempunyai pengetahuan dalam perkara-perkara antaranya berkaitan perniagaan, perindustrian, perdagangan adil, persaingan dan perlindungan pengguna.

Rang undang-undang itu penting kerana ia mempunyai kaitan dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang hanya akan dilaksanakan oleh kerajaan selepas akta itu diluluskan.

Akta itu dikatakan mampu mengawal para peniaga daripada bertindak mengambil untung berlebihan selepas GST dilaksanakan kelak. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

Artikel Lain