suria

Keluarga Rugi RM90,000 Selepas Rumah Terbakar

SEREMBAN: Satu keluarga mengalami kerugian hampir RM90,000 apabila rumah teres mereka di Taman Tuanku Ja'afar, Sungai Gadut dekat sini musnah dalam kebakaran awal Isnin.

Pemilik rumah itu, Daud Abdul Ghani, 66, berkata kejadian berlaku pada pukul 4.30 pagi ketika beliau dan isteri serta tiga anaknya sedang tidur.

"Saya dikejutkan oleh isteri saya yang menyatakan rumah terbakar. Apabila saya keluar dari bilik untuk melihatnya, saya terkejut kerana mendapati api sedang marak di bahagian tengah rumah.

"Saya segera kejutkan anak-anak untuk segera keluar rumah menyelamatkan diri. Masa itu saya cuma ingat untuk menyelamatkan diri dan ahli keluarga. Walaupun segala perabot, pakaian dan barangan elektrik musnah, saya bersyukur kerana kami semua selamat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Kebakaran itu turut memusnahkan sebahagian rumah jiran Daud.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Senawang Jaafar Yusof berkata, pihaknya mengambil masa setengah jam untuk mengawal kebakaran.

Punca kebakaran dan jumlah sebenar kerugian masih disiasat, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain