suria

Kapal Dagang Bawa 1,000 Kontena Dalam Perjalanan Ke Oman Terbakar

Pesawat Bombardier Maritim Malaysia memadamkan kebakaran dari udara.
Pesawat Bombardier Maritim Malaysia  memadamkan kebakaran dari udara.
Pesawat Bombardier Maritim Malaysia memadamkan kebakaran dari udara.

PELABUHAN KLANG: Sebuah kapal dagang, MV Charlotte Mearsk membawa muatan 1,000 kontena dan 21 anak kapal yang dalam perjalanan ke Oman dari sini, terbakar kira-kira 60 batu nautika dari perairan Pelabuhan Klang, malam semalam pada Rabu.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Kapten Maritim Mohd Amir Hamzah berkata kejadian kira-kira 10.10 malam itu berlaku di bahagian muatan iaitu membabitkan beberapa buah kontena tetapi tidak membabitkan badan kapal berkenaan.

"Kebakaran dipercayai bermula pada kontena di bahagian hadapan sebelum merebak ke bahagian tengah namun kesemua 21 anak kapal berada dalam keadaan selamat," katanya dalam sidang media di sini, Khamis.

Beliau berkata sebaik mendapat maklumat mengenai kejadian itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menghantar sebuah Kapal Maritim (KM) Danga dan sebuah bot laju, Penggalang 1, ke lokasi kejadian.

"Walaupun menerima panggilan daripada kapten kapal itu memaklumkan bahawa mereka sedang mengawal kebakaran dan mahu meneruskan perjalanan, pasukan penyelamat tetap menghantar bantuan ke lokasi kapal terbabit," katanya.

Mohd Amir berkata sebaik tiba di lokasi kejadian pada 4 pagi tadi, bahagian kontena terbabit didapati masih terbakar dan usaha memadamkan api masih terus dilakukan oleh krew kapal itu.

Beliau berkata sebuah pesawat Bombardier Maritim Malaysia kemudian ditugaskan untuk memadamkan kebakaran dari udara dan sebuah lagi kapal tambahan KM Marlin juga dihantar ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan. Katanya agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri juga telah dimaklumkan untuk menyalurkan bantuan sekiranya diperlukan.

"Sehingga kini, punca kejadian dan jumlah kerugian dalam kebakaran ini belum dapat diketahui dan kita juga tidak tahu isi kandungan kesemua kontena itu," katanya.

Beliau berkata APMM juga masih berusaha mengenal pasti pemilik sebenar kapal berkenaan.

Sehingga petang ini usaha memadam kebakaran itu masih dijalankan. - BERNAMA

Artikel Lain