suria

Matlamat Menghalalkan Cara Menumbangkan Kevin Rudd

DALAM politik rakan boleh sahaja menjadi lawan jika kita tidak berhati-hati. Rakan yang dianggap sekutu kuat kita dalam memperjuangkan sesuatu polisi boleh pada bila-bila masa sahaja menikam kita dari belakang kerana politik tidak mengenali istilah kawan, rakan mahupun kesetiaan.

Itu yang terjadi di sini, apabila Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd, digulingkan oleh rakan baiknya sendiri iaitu Timbalan Perdana Menterinya sendiri, Jullian Gillard.

Pada masa yang sama, insiden mengulingkan Rudd telah dilihat sebagai satu peristiwa bersejarah yang unik buat Australia - dengan terlantiknya Gillard sebagai perdana menteri wanita pertama untuk memimpin kerajaan dan juga 27 juta orang rakyat Australia.

Kevin Rudd yang popularitinya naik mencanak selepas mengetuai Parti Buruh dalam kemenangan bersejarah mengalahkan Parti Konservatif kurang lebih dua tahun lalu, juga mencatat sejarah kerana gagal menghabiskan penggal perkhidmatannya sebagai PM.

Isu utama kejatuhan beliau adalah disebabkan oleh kegagalan perlaksanaan polisi-polisi yang beliau janjikan semasa pilihan raya yang lepas ditambah dengan kerisauan anggota-anggota kanan parti buruh akan masa depan parti tersebut terutamannya menjelang pilihan raya umum akan datang.

Bagi saya, politik di Australia cukup terbuka, siapa sahaja boleh mengkritik pemimpin mereka. Di samping itu pengaruh media massa (tv dan suratkhabar) cukup kuat dalam menentukan kehebatan serta populariti seseorang pemimpin itu. Kejatuhan serta kebangkitan seseorang pemimpin di sini banyak bergantung terhadap sokongan pengamal-pengamal media yang pastinya tiada kepartisan.

Saya bukanlah penyokong kuat Kevin Rudd dan juga bukan memusuhi Julian Gillard, tapi bagi saya, dalam memilih pemimpin, etika dan keperibadian seseorang tetap menjadi kayu pengukur utama. Kevin Rudd merupakan seorang yang mudah didekati, petah berbicara serta berkebolehan bertutur dalam bahasa Mandarin malah dilihat bahasa Mandarinnya lebih baik dari seorang berbangsa Cina.

Seorang yang sudah berkeluarga dan mempunyai tiga orang anak, beliau juga mempunyai seorang menantu berketurunan Cina. Ciri-ciri ini menyebabkan beliau mudah didampingi oleh semua golongan terutama kaum pendatang dari Asia.

Berbeza pula denga Julian Gillard yang dilahirkan di Wales. Perdana Menteri baru ini tidak berkahwin serta tidak mempunyai anak, tinggal bersama teman lelakinya yang juga pendandan rambut beliau. Manakala ibu bapanya, yang membawa beliau ke Australia atas sebab-sebab kesihatan, tinggal di retirement home (rumah orang tua).

Secara meritnya, nyata kelebihan dimiliki oleh Kevin Rudd. Tapi sebaliknya di sini, latar belakang keperibadian bukanlah sesuatu ciri yang menjadi pilihan utama dalam memilih pemimpin. Yang pasti keberanian serta sifat hati kering yang dicari-cari oleh rakyat negara kangaroo ini.

Antara syarat Kevin Rudd melepaskan jawatan Perdana Menteri ialah kompromi serta perkongsian kuasa kabinet antara beliau dengan Julian Gillard, namun janji tersebut dengan mudah dilupakan oleh pimpinan baru ini atas dasar ia adalah prerogatif mutlak milik beliau.

Tinjauan pendapatan terhad ke atas 27, 000 orang yang dikeluarkan selepas sehari Jullian Gillard dilantik menjadi Perdana Menteri menunjukkan bahawa rakyat akan memilih perdana menteri yang lain jika mereka mempunyai pilihan. Nyata, Jullian Gillard perlu meningkatkan populariti beliau secepat mungkin sebelum mengumumkan pilihan raya umum yang tinggal beberapa bulan sahaja lagi.

Yang pasti, bagi saya, dalam politik banyak perkara yang tidak kita jangkakan boleh berlaku. Kawan boleh menjadi lawan, seteru boleh menjadi rakan. Rekod berpuluh-puluh kebaikan yang dicurahkan oleh seseorang individu boleh dihapuskan hanya dengan satu kesilapan kecil.

Golongan oportunis ada di mana-mana, mereka hanya menunggu masa untuk bertindak. Setia hanyalah sekadar satu istilah yang tidak wujud dalam kamus diri mereka. Bagi mereka yang bercita-cita besar dalam politik, pemilikan kuasa adalah jawapan segala-galanya.

Saya amat mengharapkan, agar politik sebegini tidak dibawa angin ke Malaysia. Doa saya biarlah Malaysia ditadbir secara terhormat tanpa berlaku tikam menikam dari belakang. Adat dan budaya ketimuran hendaklah didokong oleh setiap orang yang bergelar politikus, Kita harus belajar untuk menanam budaya supaya tidak menjadikan matlamat menghalalkan cara.

DR AHMAD ZAHARUDDIN SANI SABRI merupakan Honarary Visiting Scholar di University of Melbourne. Beliau boleh dihubungi menerusi [email protected]

Artikel Lain