Seorang Pelajar Maktab Tentera Disingkir, Empat Digantung - Semasa | mStar

Seorang Pelajar Maktab Tentera Disingkir, Empat Digantung

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan lima Maktab Tentera Diraja (MTD) yang disyaki terlibat mengakibatkan kematian Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16, dipercayai dibuli dan didera di maktab itu Rabu lepas, disingkir serta-merta daripada pengajiannya.

Empat lagi rakannya digantung pengajian sehingga siasatan kes selesai.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan dibuat untuk menyingkirkan pelajar itu serta-merta selepas siasatan mendapati pelajar tersebut membuli dengan niat sejak awal tahun ini.

"Pihak maktab membuat keputusan untuk menyingkir pelajar tersebut serta-merta. Kes saman sivil juga akan dikenakan. Dia akan berdepan tindakan daripada tentera, kami (kementerian) dan polis," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil kepada petugas Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2010) di sini hari ini.

Beliau berkata, kementerian memandang serius kes buli di sekolah dan tindakan perlu diambil bagi membendung gejala itu serta mengelak perkara sama daripada berulang.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah yang juga Pengerusi MTD berkata, kementerian menyerahkan siasatan hal berkenaan kepada polis.

Katanya, sebelum ini maktab itu pernah mengambil tindakan terhadap pelajar yang melanggar peraturan MTD seperti terlibat dalam kes buli, dengan mengasingkan pelajar itu atau terus menyingkirkannya dari maktab.

Beliau berkata, kawalan ketat akan dilakukan termasuk warden dikerah bertugas pada waktu malam bagi mengelak insiden sama berlaku.

"Kejadian ini membuatkan kita berhati-hati dan memandang serius dengan gejala buli di sekolah," katanya.

Mohammad Naim meninggal dunia Rabu lepas di Pusat Perubatan Angkatan Tentera di Kem Sungai Besi selepas tidak sedarkan diri dipercayai dibuli.

Pada 25 Jun lalu, polis menahan kelima-lima pelajar tingkatan lima kolej itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan membunuh, yang membawa hukuman mati mandatori. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain