suria

Polis Cari Nik Mustapfa Bantu Siasatan Kes Bunuh

KUALA TERENGGANU: Polis mencari seorang lelaki, Nik Mustapfa Nik Hassan, 36, bagi membantu siasatan kes bunuh seorang remaja lelaki di Pasir Gajah, Jalan Air Puteh, Kemaman 14 Jun lepas.

Nik Mustapfa, yang berasal dari Kampung Bukit Marak, Kubur Datu, Kelantan dikatakan antara tiga orang yang terakhir bertemu Mohd Halim Idrus, 19, sebelum mayat remaja itu ditemui dalam sebuah pondok di Pasir Gajah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Supt K Manoharan berkata dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, remaja lelaki terbabit menerima panggilan daripada Intan Nazaridah Abdul Rahman, 15, yang baru dikenalinya supaya mengambilnya di pondok itu kerana dikatakan bergaduh dengan teman lelakinya, Nik Mustapfa.

Beliau berkata oleh kerana Mohd Halim tidak mengenali tempat itu, dia meminta adik Intan Nazaridah iaitu Mohd Redzuan Hafiz, 14, menunjukkan pondok berkenaan.

"Bagaimanapun mangsa bersama Mohd Redzuan Hafiz dan Intan Nazaridah, tidak pulang selepas itu dan apabila gerakan mencari dijalankan, mangsa dijumpai mati dibunuh di dalam pondok berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata mangsa mati akibat ditikam dengan senjata tajam di rusuk belakang badan dan polis menemui sebilah pisau yang dipercayai diguna dalam kejadian itu.

Manoharan berkata berikutan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 18 tahun di rumahnya di Kampung Dadong, Kemaman Ahad lepas bagi membantu siasatan kes itu.

Intan Nazaridah dan Mohd Redzuan Hafiz dari Kampung Batu 16 Jalan Air Puteh, Kemaman serta Nik Mustapfa pula telah menghilangkan diri selepas kejadian itu, katanya.

Orang ramai yang mengetahui di mana mereka berada atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kemaman ASP Jamil Mohd Sahad di talian 014-80072222 bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain