suria

Bot Karam: Dua Tekong Direman

PORT DICKSON: Berikutan kejadian bot karam di sini Selasa, dua lelaki yang dipercayai warga Indonesia selaku tekong bot pancung tersebut ditahan reman mulai Rabu.

Mereka yang berumur lingkungan 25 dan 30 tahun ditahan bagi membantu kejadian tersebut yang mengorbankan dua nyawa sementara 15 lagi penumpang masih hilang dalam kejadian kira-kira 3 pagi semalam.

Kedua-duanya adalah antara lapan orang di dalam bot tersebut yang terselamat selepas bot yang membawa 25 orang penumpang rakyat Indonesia itu tenggelam di dalam keadaan cuaca buruk, kira-kira 12 batu nautika dari perairan Port Dickson.

Bot itu dikatakan dalam perjalanan dari Banting, Selangor menuju ke Sumatera.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Baljeet Singh berkata perintah reman dibawa sendiri oleh seorang Majistret kepada kedua-duanya yang salah seorangnya sedang dirawat di Hospital Port Dickson sementara seorang lagi di Hospital Tuanku Ja'afar, di Seremban.

"Mereka akan direman selama tujuh hari dan kita akan siasat mereka di bawah Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Polis akan turut menyiasat sama ada mereka hanya menjadi tekong atau pun pengusaha kepada bot malang berkenaan.

Sementara itu enam lagi mangsa yang terselamat termasuk seorang wanita yang mengandung akan diserahkan kepada pihak Imigresen untuk diambil tindakan lanjut memandangkan kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Mayat dua mangsa yang lemas dalam kejadian itu, iaitu seorang lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun akan diserahkan kepada Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur untuk diuruskan, kata Baljeet.

Setakat tengah hari ini, tiada mangsa lain yang ditemui.

Mengulas mengenai kejadian tersebut, Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 5 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kapten Ibrahim Mohamad berkata cuaca ketika itu adalah tersangat buruk dengan angin bertiup selaju 50 kilometer sejam beserta ombak setinggi dua meter.

"Kita percaya semasa mereka memulakan perjalanan sebelum tengah malam semalam, cuaca dan ombak adalah sangat tenang tetapi menjadi semakin buruk semasa mereka berada di tengah laut," katanya.

Apabila disoal, beliau tidak menolak andaian bahawa tekong bot berkenaan mengetahui tentang keadaan cuaca pada awal pagi itu, tetapi terpaksa memperjudikan nasib para penumpang kerana sudah mengutip bayaran yang sangat tinggi.

Akibat cuaca buruk, APMM juga terpaksa membatalkan usaha mencari dan menyelamat dengan menggunakan helikopter.

Ombak tinggi serta angin kencang masih lagi berlaku pagi ini di kawasan pencarian yang difokuskan antara jarak 3 batu nautika hingga 12 batu nautika dari kawasan perairan negara.

Usaha menyelamat APMM dilakukan dengan menggunakan kapal, bot-bot kecil dengan dibantu oleh pasukan polis marin, jabatan laut, bomba dan jabatan pertahanan awam.

Jika terdapat lagi mangsa yang mati lemas, mayat mereka dijangka ditemui esok.

"Melalui pengalaman saya, jarang ada mangsa lemas yang dihanyutkan ke pantai, tetapi kemungkinan besar tubuh mereka akan terus hanyut ke arah utara atau selatan memandangkan arus kuat di Selat Melaka," kata Ibrahim.

Menurut APMM, bot-bot yang digunakan untuk membawa pendatang tanpa izin Indonesia selalunya akan bertolak pada waktu malam kerana laut sedang pasang dan ini memudahkan bot merapati kawasan pantai.

Pantai Banting menjadi pilihan untuk berlepas kerana ia mempunyai lorong-lorong tikus yang selalunya memakan masa hanya tiga jam untuk sampai ke perairan Pulau Rupat di Sumatera. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain