suria

Bilangan Ahli Farmasi Meningkat Tiga Kali Ganda Menjelang 2020

KUALA LUMPUR: Bilangan ahli farmasi akan meningkat tiga kali ganda kepada 22,000 menjelang 2020 dengan lebih banyak pusat pengajian menawarkan kursus berkenaan di negara ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Populasi siswazah farmasi baru akan berkembang pada jumlah 1,600 setahun sehingga 2020, dari 600 pada 2006, jika bilangan pusat pengajian tetap kekal, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jeffery Cheah School of Medicine and Health Sciences dan permulaan kursus farmasi di kampus cawangan Monash University di Petaling Jaya di sini.

Terdapat peningkatan 2.5 kali bilangan ahli farmasi yang berdaftar di negara ini dalam tempoh 10 tahun lepas, meningkat dari 2,877 pada 1999 kepada 7,298 tahun lepas.

"Mengikut ramalan kami, bilangan ini akan bertambah lagi tiga kali ganda kepada kira-kira 22,000 menjelang 2020," katanya.

Liow berkata perkhidmatan farmasi di kawasan bandar tidak banyak masalah dan kementeriannya bercadang memperluaskan perkhidmatan itu ke luar bandar. Pada masa ini, 17 institusi menawarkan kursus farmasi, lima di sektor awam dan 12 di sektor swasta.

Liow berkata bilangan ahli farmasi dalam sektor kerajaan juga meningkat sejak perkhidmatan wajib tiga tahun bagi ahli farmasi diperkenalkan pada lewat 2004.

"Trend ini sejak itu telah berubah dan pada tahun lepas terdapat 51 peratus di sektor awam," kata beliau.

Sebelum itu, jumlahnya hanya 15 peratus. - BERNAMA

Artikel Lain