suria

Pemilihan AJK Umno Bukit Bendera Julai Ini - Zahid

PULAU PINANG: Pemilihan anggota jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Bukit Bendera yang baru akan diadakan pada Julai ini dan mengguna pakai peraturan baru pemilihan.

Pengerusi badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata peraturan baru itu antara lain menetapkan semua anggota Umno yang telah menganggotai parti melebihi tiga tahun layak menjadi calon.

"Mereka hanya perlu buat pendaftaran seminggu sebelum pemilihan diadakan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat badan itu, di sini hari ini.

Sebelum ini Umno mengamalkan sistem kuota iaitu seseorang harus menerima sejumlah pencalonan dari peringkat cawangan sebelum layak bertanding bagi sebarang jawatan pada peringkat bahagian.

Bagaimanapun pada perhimpunan agung khas parti Oktober lepas, Umno meminda perlembagaannya yang antara lain menyaksikan pemansuhan sistem kuota itu bagi semua peringkat pemilihan.

Pemilihan baru AJK bahagian itu bagi mengisi kekosongan selepas kesemua 36 anggotanya melepaskan jawatan pada 29 Mac lepas.

Peletakan jawatan itu bagi membuka laluan untuk memilih semula Datuk Ahmad Ismail sebagai ketua bahagian.

Ahmad digantung daripada parti selama tiga tahun bermula September 2008 selepas didakwa mengeluarkan kenyataan sensitif semasa berkempen pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Bagaimanapun pada Disember lepas Majlis Tertinggi parti memutuskan menarik balik penggantungannya. - BERNAMA

Artikel Lain