suria

Rakaman Bersiri Mengenai Kekejaman Israel Mungkin Diterbitkan Astro

KUALA LUMPUR: Visual rakaman yang sempat diambil oleh jurukamera Astro Awani sebelum ditahan oleh tentera Israel dalam misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini mungkin akan dijadikan dokumentari bersiri.

Visual itu antara lain memaparkan aktiviti sukarelawan kemanusiaan sepanjang pelayaran bersama kapal Mavi Marmara.

Jurukamera terbabit, Shamsul Kamal Abd Latip, 43, berkata, beliau telah merakamkan peristiwa yang menarik sebelum ditahan dan berhasrat untuk berkongsi dengan rakyat Malaysia.

"Saya sempat menghantar beberapa rakaman video menggunakan internet sebelum kapal kami diserang oleh Israel."

"Walaupun tidak terlalu banyak yang dirakam namun ianya boleh dijadikan cerita, saya dapat tahu akan ada mini dokumentari tetapi semuanya bergantung kepada pihak Astro Awani, dan mengenai penyiarannya akan diketahui minggu hadapan," katanya semasa majlis menyambut kepulangan beliau anjuran Umno Selayang di sini semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idrus.

Shamsul berkata, pengalaman ketika berada dalam tahanan Israel adalah sangat memeritkan dan tidak pernah terjangkau di ingatannya akan melalui detik seperti itu.

"Sepanjang dalam tahanan mereka (Israel), kami hanya diberi makan ubi kentang rebus dan air paip. Kami tidak dibenarkan bersembang dengan tahanan lain."

"Pihak Israel juga beranggapan saya membawa senjata sedangkan hanya ada kamera bersama saya ketika itu. Hal ini memperlihatkan pihak Israel cuba mengeruhkan keadaan," katanya.

Dalam insiden 31 Mei lepas, kapal milik Turki "Mavi Marmara", yang membawa sukarelawan serta bantuan makanan dan perubatan untuk rakyat Gaza di Palestin, diserang tentera Israel mengakibatkan sembilan sukarelawan terbunuh.

Bagaimanapun, kesemua 12 sukarelawan Malaysia di atas kapal tersebut selamat tetapi ditahan beberapa ketika oleh tentera Israel sebelum dibebaskan dan dibawa ke Amman, Jordan. - BERNAMA

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain