suria

Chua: MCA Perlu Pendekatan Lebih Bijaksana Untuk Tarik Pengundi

KUALA LUMPUR: MCA memerlukan satu pendekatan yang lebih bijaksana dan kempen yang menarik untuk menarik semula sokongan pengundi, kata presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

“Kita berpendapat, cara kita mempromosikan parti untuk menarik minat dan perhatian pengundi sudah jauh ketinggalan malah pembangunan media baru parti juga masih ditahap yang lemah,” katanya ketika ditemui para pemberita selepas bertemu dengan kepimpinan pemuda peringkat Negeri Johor kelmarin.

Sebagai contoh kata Dr Chua, setiap bahagian sepatutnya sudah mempunyai laman webnya sendiri untuk menarik perhatian mereka yang cenderung kepada media baru. Sehubungan dengan itu, Dr Chua meminta semua bahagian parti itu membuat persediaan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang lebih menarik serta menjalankan proses pendaftaran pengundi dengan segera dengan bantuan sayap pemuda.

Pada masa yang sama katanya, MCA di peringkat bahagian juga patut merancang program yang boleh menarik bukan ahli MCA turut serta.

“Di Johor, kita berkeyakinan penuh para pengundi Cina akan terus memberikan sokongan dan undi mereka kepada Barisan Nasional,” katanya lagi. Ditanya apakah beliau yakin yang MCA akan kembali memperolehi undi daripada masyarakat Cina sepertimana dahulu, Dr Chua dengan sinis menjawab: “Secara semulajadinya saya adalah seorang yang optimistik...sangat-sangat optimistik. Oleh itu saya mempunyai keyakinan yang tinggi ke atas sayap pemuda khususnya dari Johor.”

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain