suria

Polis Melaka Tumpas Geng Culik Anak Ahli Perniagaan

MELAKA: Polis berjaya menyelesaikan satu kes culik melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di Tanjung Kling dekat sini pada 31 Mei lalu selepas menahan 13 orang termasuk seorang anggota tentera.

Ketua Polis Melaka Senior Asisten Komisioner 1 Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof berkata polis menahan sembilan daripada 13 anggota kumpulan itu di negeri ini manakala empat lagi ditahan di Bahau, Negeri Sembilan antara 2 dan 5 Jun lepas.

"Polis berjaya merampas sebahagian wang tebusan sebanyak RM48,390 daripada suspek yang berusia antara 20 dan 53 tahun itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini, hari ini.

Mohd Rodwan berkata polis turut merampas dua buah kereta Proton Wira, sebilah pedang berserta dua sarung, 11 unit telefon bimbit, seunit pemain cakera padat, komputer riba dan beberapa barangan kemas.

Katanya mangsa diculik lima lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Wira berwarna gelap pada pukul 3.30 petang 31 Mei lepas ketika mangsa berjalan kaki berseorangan untuk pulang ke rumahnya di sebuah taman perumahan di Tanjung Kling.

Beliau berkata pada hari sama juga suspek menghubungi bapa mangsa, seorang ahli perniagaan, dan meminta RM1 juta sebagai wang tebusan.

"Melalui perbincangan, akhirnya suspek bersetuju menerima wang tebusan RM120,000 dan bapa mangsa memberikan wang pada 2 Jun lepas pada jam 1.20 pagi di Jalan Cheng, dekat sini," katanya.

Beliau berkata kanak-kanak terbabit kemudiannya dilepaskan dengan selamat di hadapan sebuah sekolah di Batang Tiga dekat sini, pada pukul 6.05 pagi hari sama.

Katanya tujuh daripada suspek itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis manakala enam lagi termasuk seorang anggota tentera berusia 27 tahun yang dipercayai perancang penculikan berkenaan masih ditahan reman sehingga 11 Jun ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori atau penjara seumur hidup. - BERNAMA

Artikel Lain