suria

KPDNKK Kenal Pasti Sembilan Lokasi Jualan DVD Cetak Rompak

KANGAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengenalpasti sembilan lokasi panas bagi kegiatan penjualan cakera padat (CD) dan cakera padat digital (DVD) cetak rompak di Perlis.

Timbalan Pengarah KPDNKK Perlis, Abdul Halim Pakri berkata tujuh daripada sembilan lokasi panas itu dikenal pasti di Padang Besar manakala dua lagi lokasi di Arau.

Bagaimanapun katanya kegiatan CD dan DVD cetak rompak semakin menurun setelah pelbagai operasi dilakukan termasuk di kawasan premis terbuka dan juga pasar malam.

Operasi besar-besaran itu dilakukan sempena pelancaran kempen gerak gempur cetak rompak peringkat nasional yang dilancarkan oleh Menteri KPDNKK Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Mei lalu.

Menurut Abdul Halim, setelah gerak gempur itu dilancarkan, aktiviti penguatkuasaan telah dilakukan di seluruh negeri Perlis dengan membabitkan rampasan 17,800 unit CD dan DVD cetak rompak bernilai RM65,000 dalam empat kes rampasan di Padang Besar dan Arau.

Abdul Halim berkata selain CD dan DVD cetak rompak, pihaknya juga telah mengenalpasti 151 premis yang menjual barangan tiruan yang kebanyakannya di Padang Besar.

Selain itu, satu pelan tindakan akan dilakukan oleh pihak KPDNKK Perlis bagi memastikan orang ramai tidak menyokong karya cetak rompak selain daripada aktiviti penguatkuasaan.

"Satu sesi taklimat dan penerangan akan dilakukan kepada kumpulan-kumpulan yang berisiko tinggi menjual dan mengedar bahan cetak rompak itu," katanya di sini Khamis.

Katanya taklimat itu meny asarkan pelajar institusi pengajian tinggi dan peniaga-peniaga yang menggunakan perisian seperti itu supaya mereka memahami peraturan di atas kesalahan menjual barangan tiruan berkenaan. -BERNAMA

Artikel Lain