suria

PDRM Sambut Baik Penempatan Semula Anggota Ke Bahagian Operasi

KUALA LUMPUR: Strategi menempatkan semula anggota polis dari bahagian pentadbiran ke bahagian operasi yang dilaksanakan sejak Jun tahun lepas, mendapat sambutan positif daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Rata-rata anggota yang ditemui menyatakan sokongan padu dengan inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Melalui inisiatif itu kerajaan mensasarkan pengurangan sekurang-kurangnya lima peratus dalam jenayah indeks keseluruhan yang dilaporkan menjelang 2012.

Lans Koperal Hasnidah Wani Nordin yang bertugas di Balai Polis Damansara berkata, komitmen sebagai anggota polis lebih terserlah apabila beliau mula menjalankan tugasan rondaan cegah jenayah sejak Januari lepas.

"Saya melakukan kerja perkeranian sejak tahun 2008 dan hanya terlibat dengan operasi jenayah sekiranya diperlukan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di balai polis itu, baru-baru ini.

Hasnidah yang telah berkhidmat sebagai anggota polis sejak tahun 2000 dan bertugas di bahagian pencegahan jenayah selama lapan tahun merasakan tugasnya sebagai satu cabaran yang harus ditempuhi sebagai seorang anggota polis wanita.

"Walaupun wanita, ia tidak menjadi alasan untuk saya bertugas sebagai anggota polis kerana telah menjadi lumrah untuk kami menjaga keselamatan rakyat daripada ancaman penjenayah," katanya.

Pembantu Tadbir bahagian perkeranian di balai polis itu Norfarhani Mahmud, 24, berkata, beliau bersetuju dengan cadangan penempatan semula pegawai PDRM yang bermula Jun tahun lepas.

"Apabila anggota polis mula melakukan tugas luar ia satu pengalaman bagi mereka dan ramai lagi anggota polis diperlukan bagi menangani kadar jenayah di kawasan 'hot spot'," katanya yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad berkata, indeks jenayah di kawasan itu dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini telah menunjukkan penurunan berbanding tempoh yang sama tahun lepas hasil daripada inisiatif itu.

"Rekod jenayah di kawasan itu sebelum ini memang tinggi tetapi dengan inisiatif yang ada dapat mengurangkan kadar jenayah...indeks jenayah untuk tempoh Januari hingga Mac tahun 2010 terdapat sebanyak 390 kes berbanding 506 kes bagi tempoh yang sama pada 2009, ini menunjukkan penurunan sebanyak 116 kes.

"Bagi kes jenayah jalanan pula bagi tempoh Januari hingga Mac 2010 terdapat 73 kes berbanding 96 bagi tempoh yang sama tahun lepas," katanya pada sidang akhbar baru-baru ini.

Arjunaidi berkata, selain itu inisiatif beliau untuk mengurangkan kadar jenayah dengan menubuhkan kumpulan penyiasat bagi setiap balai polis di seluruh daerah Petaling Jaya.

Katanya, pihaknya turut mengedarkan borang kaji selidik kepada penduduk di sekitar Damansara untuk mendapatkan maklum balas berkaitan kes jenayah untuk tempoh dua bulan bermula bulan Mei.

"Keputusan daripada maklum balas itu masih dalam pemprosesan dan selepas ini kita akan edarkan borang terbabit setiap tiga bulan sekali," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain