suria

Usah Lagi Buat Tuduhan Tanpa Usul Periksa - Najib

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menasihatkan pemimpin dan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN)supaya tidak lagi membuat sebarang tuduhan tanpa usul periksa sehingga boleh menjejaskan keutuhan BN. Najib yang juga Pengerusi BN berkata semua pihak perlu berpegang kepada prinsip dengan tidak membuat tuduhan melulu tanpa bukti yang kukuh.

"Kita tidak boleh mengatakan orang ini buat ini dan orang itu buat itu, sebab kalau kita tidak ada bukti dan tidak sahih, akhirnya kita terpaksa mengaku kesilapan kita sendiri.

"Kita kena siasat dahulu kesahihannya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat agung ke-10 Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan anggota Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC, S. Vell Paari semalam yang memohon maaf atas dakwaan beliau bahawa Umno mengupah "pembunuhan politik" dan di belakang Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) untuk menyingkirkan Datuk Seri S. Samy Vellu sebagai presiden parti itu.

Vell Paari berkata Umno ternyata tidak terbabit dalam mana-mana cara dengan pergerakan GAS dan menyifatkan kenyataan kontroversinya itu adalah kerana beliau merasakan adalah tugas beliau untuk membela bapanya, Samy Vellu.

Sebelum ini, Vell Paari telah mendakwa Umno menggunakan "pembunuhan politik" untuk mengasingkan parti-parti komponen BN dalam satu temu bual bersama laman web "Free Malaysia Today" pada Isnin lepas.

Mengulas lanjut, Najib yang juga Presiden Umno berkata setiap anggota B Ntidak seharusnya mengulangi lagi tindakan sedemikian.

"Saya harap apa yang berlaku itu tidak berterusan," katanya.

Najib berharap isu melemparkan tuduhan terus dihentikan dan menjadikannya sebagai pengajaran kepada setiap anggota BN.

"Saya anggap cerita ini sudah habis, sudah tutup, tetapi ini adalah satu pengajaran kepada pihak lain,"katanya. - BERNAMA

Artikel Lain