suria

Sembilan Nelayan Thai Terjun Laut Elak Ditangkap APMM Sarawak

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak berjaya mematahkan tindakan nekad sebuah bot nelayan Thailand yang cuba melarikan diri setelah dikesan menceroboh dan menangkap ikan di kawasan perairan Tanjung Po di sini Selasa lalu.

APPM Sarawak di dalam satu kenyataan di sini berkata, di dalam kejadian pada pukul 6 petang 25 Mei lalu, sebuah bot serta sembilan nelayan Thailand cuba melarikan diri sewaktu pemeriksaan sedang dilakukan dan terpaksa dikejar selama satu jam sebelum bot tersebut dapat dihentikan.

"Kesemua nelayan tersebut sanggup terjun ke laut untuk melarikan diri tetapi dapat ditahan semula," kata kenyataan itu. Hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya yang berasal dari Thailand tidak mempunyai sebarang dokumen serta lesen bot nelayan yang sah.

"Tekong dan lapan awak-awak itu ditahan kerana melakukan kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara di bawah seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985," menurut kenyataan tersebut.

APMM berkata kesemua nelayan yang ditangkap itu ialah lelaki berumur antara 26 dan 43 tahun. - BERNAMA

Artikel Lain