suria

Penyeludup Makin Agresif, Cuba Rempuh Pihak Berkuasa

PENGKALAN KUBOR: Penyeludup minyak kini lebih agresif dalam tindakan mereka sehingga cuba melanggar pegawai dan anggota pihak berkuasa dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Kesban, dekat sini hari ini.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Marin (PGM), Deputi Supritendan Tan Cheng San berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 12 tengah hari apabila dua buah kereta jenis Toyota Corona dan Nissan Sunny itu cuba merempuh pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan PGM semasa mereka ditahan dalam sekatan itu.

Apabila cubaan merempuh itu tidak berjaya, empat penyeludup warga negara jiran meninggalkan kenderaan mereka di tebing sungai dan berenang ke negara jiran," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tan berkata, hasil pemeriksaan mendapati tangki kedua-dua kenderaan itu telah diubahsuai dan pihak berkuasa merampas 3,000 liter petrol.

Sejam selepas kejadian itu, sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Pajero pula ditahan di sekatan jalan raya itu dan hasil pemeriksaan mendapati kenderaan pacuan empat roda itu juga digunakan untuk kesalahan yang sama mengisi minyak diesel melebihi had sebanyak 300 liter.

Katanya, tangki kenderaan yang diubahsuai boleh mengisi sehingga 500 liter minyak berbanding jumlah asal sebanyak 60 liter sahaja.

Beliau berkata, kesemua kenderaan berkenaan akan dirujuk kepada Jabatan Pengangkutan Jalan untuk tindakan lanjut.

Selain itu, katanya, minyak petrol dan diesel yang dirampas dan dianggarkan bernilai lebih RM6,000 itu akan diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, (KPDNKK). - BERNAMA

Artikel Lain