suria

Umno Tak Pernah Campur Urusan Komponen BN - Shafie

BANGI: Umno sama sekali tidak pernah mencampuri sebarang urusan dalaman mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN) walaupun di saat mereka sedang bergelut dengan masalah dalaman masing-masing, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sambil melahirkan rasa kecewa dan kesal terhadap tuduhan bahawa Umno melakukan pembunuhan politik untuk memecah-belahkan MIC, Shafie berkata tuduhan seumpama itu perlu diseiringkan dengan bukti jika ia benar-benar berlaku.

Sepanjang pengetahuan saya, sebagai salah seorang Naib Presiden parti dan antara pemegang jawatan tertinggi parti, tidak pernah sama sekali Umno mencampuri urusan dalaman parti komponen lain, termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Sejarah telah membuktikan bahawa MCA pernah menghadapi masalah dalaman yang sangat serius tetapi kami tidak pernah mencampuri urusan mereka. Sudah tentu Umno akan mengambil berat kerana apa yang berlaku akan memberikan implikasi terhadap keseluruhan jentera BN," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian bangunan tambahan Institut Kemajuan Desa (Infra) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuduhan Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, S. Vell Paari kononnya Umno telah melakukan pembunuhan politik terhadap MIC.

Menurut Shafie, sebarang perbalahan dalam parti komponen BN akan memberi kesan terhadap usaha memperkukuh dan memperkasakan BN.

Justeru, katanya, adalah wajar jika mana-mana pemimpin BN melahirkan hasrat untuk melihat proses penyelesaian berlangsung pada kadar segera.

"Dengan mengambil berat tidak bererti kami mencampuri urusan dalaman mereka malah kami tidak pernah berbincang mengenai sebarang perkara termasuk berkaitan hala tuju MIC, tetapi kami mahu tahu, bila MIC boleh diperkasakan semula atau bagaimana ia boleh diperkasakan semula.

"Kalau ada suara dari dalam parti itu sendiri, takkan kita (Umno) pula yang dipersalahkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain