suria

Thailand Lanjutkan Perintah Berkurung

BANGKOK: Perintah berkurung yang dikenakan di Bangkok dan di 23 wilayah lain telah dilanjutkan hingga Isnin.

Pusat bagi Resolusi Situasi Darurat (CRES) mengumumkan pada Ahad bahawa perintah berkurung itu adalah dari 11 malam hingga 4 pagi.

Perintah itu dikuatkuasakan pada 19 Mei berikutan tercetusnya kegelisahan selepas operasi tentera untuk menguasai semula kawasan di pusat bandaraya yang diduduki oleh penunjuk perasaan anti kerajaan yang mengakibatkan 40 orang terkorban dan lebih 400 cedera.

Sementara itu, beribu-ribu penduduk Bangkok menyerbu masuk ke pusat bandaraya semalam, tetapi bukan untuk tunjuk perasaan.

Sukarelawan ini muncul lengkap membawa penyapu, beg plastik, alat pencuci termasuk sponge bagi membantu pekerja Bandaraya membersihkan kawasan itu.

Rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat menyertai program "gotong-royong" itu.

Sesetengahnya menyapu jalan raya, sesetengahnya pula membersihkan dinding yang telah disembur dengan cat, ada yang mengutip sampah dan ada pula yang mencuci kawasan sementara yang lain membekalkan air dan makanan ringan untuk yang bekerja.

Askar dan polis masih meronda oleh kerana kawasan bandaraya masih di bawah perintah darurat.

Nattawadee Pattanawont, 43, berkata beliau mendapat tahu mengenai program "gotong royong" itu menerusi laman web Facebook.

"Saya rakyat Thai. Saya cintakan negara saya. Saya tidak dapat membantu menentang pengganas tapi yang saya boleh ialah membantu membersihkan bandaraya ini," kata beliau.

Beliau juga membawa anak perempuan berusia lapan tahun untuk membantu agar ia dapat belajar dan menyaksikan sendiri kemusnahan di ibu negara berikutan tercetusnya kegelisahan politik.

Beberapa orang asing juga kelihatan membantu.

Kevin McGaffey, 35, seorang warga Amerika yang telah tinggal dan bekerja di ibu negara ini sejak beberapa tahun, turut menyertai program itu. - BERNAMA

Artikel Lain