suria

Penarik Kereta Bertindak Ganas Ditahan Di Puchong

KUALA LUMPUR: Seorang penarik kereta yang sebelum ini dikatakan telah bertindak ganas dengan cuba merempuh seorang lelaki yang lambat membayar tunggakan bayaran kereta ditahan di Puncak Jalil, Puchong malam tadi.

Lelaki tempatan berusia 32 tahun itu ditahan di rumahnya kira-kira pukul 11 malam berikutan aduan pengadu tersebut yang berusia 26 tahun.

Pengadu membuat laporan polis selepas suspek cuba merempuhnya selepas berlaku pertengkaran ketika proses menarik kereta di Plaza Pudu, Rabu lepas.

Suspek dipercayai bertindak sedemikian selepas pengadu enggan menyerahkan kunci keretanya untuk ditarik.

Lelaki yang dipercayai telah tiga tahun bekerja dengan sebuah agensi menarik kereta yang dilantik bank itu kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Hamzah Osman ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong ketika ditemui di pejabatnya hari ini berkata, wakil syarikat penarik kereta terbabit dan pengadu telah pun berdamai.

Katanya, wakil syarikat terbabit telah pun meminta maaf kepada pengadu dan kesal atas perbuatan pekerjanya itu yang telah pun digantung tugas untuk sementara waktu. - BERNAMA

Artikel Lain