suria

"Jutawan" Lubnan Diarah Bela Diri Pertuduhan Tipu Dan Imigresen

KUALA LUMPUR: Elie Youssef Najem, warga Lubnan yang mendakwa dirinya seorang jutawan, hari ini diperintah membela diri terhadap dua pertuduhan menipu dan satu pertuduhan menyalahguna pas lawatan lima tahun lalu.

Majistret Mohd Azali Ibrahim menetapkan 6 Jun untuk Elie, 50, membela diri.

Elie, yang pernah mencetuskan kontroversi apabila menyatakan hasrat untuk menderma RM1 juta kepada Majlis Kanser Nasional, bagaimanapun gagal berbuat demikian selepas didakwa melakukan penipuan.

Elie, yang diwakili peguam bela S. Selvam, didakwa memperdaya lelaki tempatan, Tan Sim Chai, untuk meminjam wang kepadanya dan akan membayar balik hutang itu apabila memperoleh wang dari luar negara berjumlah 2.6 juta pound sterling.

Tan menyerahkan sembilan keping cek berjumlah RM22,000 kepada Elie pada kira-kira pukul 10 malam, 12 Sept 2005 di Megan Avenue 2, Jalan Yap Kwan Seng di sini.

Elie, yang diikat jamin RM20,000, juga didakwa menipu Tan untuk menyerahkan RM13,000 kepadanya di tempat sama pada 11 malam pada keesokan hari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 yang membawa hukuman lima tahun penjara atau denda atau kedua-duanya.

Elie turut didakwa melakukan kesalahan mengikut peraturan 11(7) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana bekerja sebagai pengarah syarikat dengan menggunakan pas lawatan.

Kesalahan itu dilakukan di tempat sama pada 4.30 petang, 21 Sept 2005, dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain