suria

Seorang Guru Bernama RD Naidu Dan Sebuah Sekolah Bernama HSBM...

Anak tangga menghala ke Blok C. Ia dibina semula menggunakan kepinga granit dan warna merah dipilih bagi memadankannya dengan beranda yang diperbuat daripada jubin Terracotta. - Foto www.hsbmalumni.org.my
Anak tangga menghala ke Blok C. Ia dibina semula menggunakan kepinga granit dan warna merah dipilih bagi memadankannya dengan beranda yang diperbuat daripada jubin Terracotta. - Foto www.hsbmalumni.org.my
Anak tangga menghala ke Blok C. Ia dibina semula menggunakan kepinga granit dan warna merah dipilih bagi memadankannya dengan beranda yang diperbuat daripada jubin Terracotta. - Foto www.hsbmalumni.org.my

BOLEH dikatakan sebahagian besar daripada hidup kita dihabiskan bersama guru. Hampir tidak ada seorang manusia pun di muka bumi ini yang berjaya tanpa bantuan guru malah guru sekalipun semuanya pernah berguru dengan seseorang.

Guru Besar penulis di High School Bukit Mertajam (HSBM), Pulau Pinang, Dr R.D. Naidu (kini mendiang) adalah seorang insan yang digeruni, dihormati malah dibenci dan disayangi (kemudian hari apabila semua murid tamat belajar dan telah bekerja) kerana di tangannyalah kami dirotan dan digunting rambut (bagi mereka yang berambut panjang dan gagal dalam pelajaran) dan di tangannya jugalah sekolah kami mencapai kejayaan dan kemajuan yang gemilang. Beliau menjadi guru besar dari tahun 1973 hingga 1987.

Beliau mempunyai sifat-sifat yang ekstrem sama seperti motto sekolah kami - Aut Coepisse Noli Aut Confice dalam Latin yang bermaksud “Accomplish or Do Not Begin” atau “Habiskan Atau Jangan Mulakan”.

Tetapi sifat ini diperlukan untuk mentadbir sebuah sekolah yang hanya dihadiri oleh pelajar lelaki (kecuali di Tingkatan Enam, pelajar perempuan dari Sekolah Menengah Convent dan sekolah-sekolah lain akan ke HSBM. Tetapi pada tahun 1988, tradisi sekolah ini yang hanya menerima pelajar lelaki sahaja telah ditamatkan dan mula menerima pelajar-pelajar perempuan.)

Walaupun anda berjaya memperolehi 9A tetapi gagal dalam satu mata pelajaran anda tetap dirotan di punggung oleh Dr Naidu. Maka saat yang paling digeruni ialah saat dan ketika kelas anda dipanggil melalui loud speaker sekolah ke bilik guru besar untuk mengutip kad laporan kemajuan pelajaran.

Ada murid yang boleh mengagak minggu ini giliran kelas mereka akan dipanggil mengadap akan memakai seluar pendek tiga lapis di dalam seluar sekolah untuk mengelak daripada punggung berbekas dirotan oleh Dr Naidu. Malah beliau sentiasa berjalan mengelilingi sekolah dengan tangan kanan memegang gunting dan tangan kiri memegang rotan.

Beliau memaksa kami semua bertutur dalam bahasa Inggeris dan memaksa kami menduduki peperiksaan ekstra bahasa Inggeris di peringkat SPM. Kami dipaksa mempelajari kesusasteraan Inggeris dan membaca karya George Owell, The Animal Farm di Tingkatan Enam walaupun subjek itu tidak termasuk dalam mata pelajaran wajib STP. Dan pada hari-hari tertentu beliau sendiri akan masuk mengajar subjek tersebut.

Beliau adalah peminat budaya Melayu dan boleh bercakap panjang lebar mengenai sejarah dan ciri-ciri rumah Melayu di perhimpunan pagi. Dan sekolah kami adalah satu-satunya sekolah di Pulau Pinang (ketika itu) yang mengadakan perhimpunan pagi saban hari lima kali seminggu tanpa putus. Semua murid wajib menghadirinya dan sesiapa yang lewat akan didenda dengan mengutip sampah di sekitar kawasan sekolah.

Pada perhimpunan pagi itu, seorang pengawas kanan akan ke atas untuk membaca ikrar sekolah dalam bahasa Inggeris seperti berikut; It is our bounden duty to uphold the Honour of the School at all times and in all places, both now as boys and later as men and old boys. The Honour of the School will not be upheld by talking or writing. It is by his conduct that a man is judged: his deeds speaks louder than words, and in a little example persuadeth more than precept. From the School more is to be learnt than the wisdom of books: the conduct of a good man and true may be learnt at school. He never gives in, he never admits defeat. After being punished or blamed, he does not sulk or complain. He never deserts his friends, his Colour or his School under any circumstances.

Selepas itu, giliran Dr R.D. Naidu untuk ke hadapan dan memberi ‘syarahannya’.

Kerana keengganannya untuk menerima kekalahanlah maka di bawah pimpinannya, di era 70an dan 80an itu, HSBM adalah juara hoki negeri, juara bolasepak negeri, juara ragbi negeri, melahirkan jaguh-jaguh pecut sekolah dan negeri (termasuklah bekas wartawan The Star, Allahyarham Farid Jamaluddin) dan pernah sekali juara kriket negeri yang mana penulis bermain sebagai wicket keeper dan kami menumpaskan Australian Air Force Secondary School yang ketika itu mempunyai pangkalan di Butterworth. Itulah yang menjadi kebanggaan kami sebagai murid dan rasa sense of belonging - iaitu juara negeri dalam semua sukan utama. Malah kami menghasilkan begitu ramai pemain kebangsaan dalam sukan hoki dan bolasepak.

Era Dr R.D. Naidu adalah era kegemilangan HSBM dan satu-satunya pesaing kami dalam sukan dan pelajaran ketika itu hanyalah Penang Free School. Penulis sangat bertuah kerana diasuh dan dididik oleh mendiang selama tujuh tahun dari Tingkatan Satu sehingga habis Tingkatan Enam.

Di sebalik kegarangannya, beliau mengajar penulis tentang ciri-ciri kepimpinan, berani berkata benar walaupun pahit, berani meluahkan pendapat, semangat kesukanan yang tinggi dan juga yang terpenting ialah keberanian untuk bertutur dalam bahasa Inggeris walaupun payah dan berat sekali lidah untuk melafazkannya.

Semuanya dilakukan di bawah paksaan tetapi pada kemudian harinya apabila dewasa dan mula berdikari, penulis sedari betapa berharganya ‘paksaan’ yang beliau lakukan ke atas kami semua dan penulis percaya dalam situasi tertentu ‘paksaan’ itu diperlukan untuk berjaya dan walau gagal sekalipun, tidak mengapa kerana kita telah ‘memaksa’ diri kita untuk melakukan yang terbaik.

Namun begitu terdapat beberapa teladan yang penulis pelajari daripada seorang guru bernama Dr R.D. Naidu yang menjadi kenangan dan panduan hidup sehingga sekarang dan ingin penulis berkongsi bersama pembaca sekalian. Antara kata-katanya yang tidak dapat dilupakan ialah;

* Membaca bukanlah satu hobi tetapi satu kewajipan setiap makhluk bernama manusia. (Sejak itu penulis tidak pernah henti membaca buku/majalah atau apa saja sehinggalah sekarang.)

* Allah mengajar manusia supaya membaca sebagaimana yang terkandung di dalam Surah Al-Alaq. Jadi kenapa kamu semua malas membaca? (Sejak itu penulis tidak pernah malas membaca kerana malu diingatkan begitu oleh seorang guru beragama Hindu.)

* Wanita tidak menjadi botak kerana mereka pandai menghias rambut dan sentiasa bertukar gaya sikatan. Lelaki menjadi botak kerana mereka hanya tahu menyikat mengikut satu gaya sepanjang hidup mereka. (Sejak itu penulis sentiasa menukar gaya menyikat rambut untuk mengelak menjadi botak.)

* Jika ada sedikit (duit) buat cara sedikit jika ada banyak (duit) buat cara banyak. (Sejak itu penulis sentiasa mengingatkan falsafah hidup ini kepada anak-anak penulis.)

* Portugis dan Belanda bersaing untuk menguasai India Timur dan Asia Tenggara kerana rempah ratus bukan untuk membuat kari tetapi untuk dijadikan bahan pengawet makanan terutamanya daging. (Sejak itu barulah penulis tahu rupanya penjajah menakluk India dan Asia Tenggara bagi menguasai perdagangan rempah bukan untuk membuat kari tetapi untuk dijadikan bahan pengawet makanan kerana buku sejarah tidak pernah menjelaskan kenapa rempah ratus menjadi komoditi yang paling berharga pada zaman itu.) dan...

* Accomplish or Do Not Begin...Habiskan atau Jangan Mulakan. (Falsafah ini yang masih penulis gagal lakukan. Kebanyakan kerja terbengkalai kerana hangat-hangat taik ayam tetapi pesanan dan tunjuk ajar guru sentiasa di hati dan dijiwa penulis).

NOTA KAKI: Selamat Hari Guru kepada semua guru yang pernah mengajar penulis dan yang pernah menjadi guru kelas dari darjah satu sehinggalah tamat belajar di tingkatan enam. Puan Wan Bee, Mr Rajendran, Mr Puvindren, Mr Rajaratnam, Mr Lee, Puan Mariam, Ustaz Nasir, Arwah Ustaz Ismail dan lain-lain yang tak dapat penulis senaraikan satu persatu.

Artikel Berikut

Artikel Lain