suria

Krisis Keyakinan Terhadap Pemimpin, Punca Ahli PKR Keluar Parti

KUALA LUMPUR: Krisis keyakinan terhadap kepimpinan Parti Keadilan Rakyat(PKR) yang diterajui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara punca beberapa anggota PKR keluar parti.

Ketua Penerangan Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata: "Keyakinan di kalangan ahli mereka (PKR) semakin berkurangan disebabkan kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa perubahan kepada rakyat.

"Malahan pelbagai janji yang dibuat oleh beliau kepada ahli parti telah gagal membawa sebarang kebaikan," katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong yang keluar PKR kerana kesal dengan kepimpinan parti itu dan pakatan pembangkang yang gagal mengambil tindakan terhadap skandal pasir di Dengkil, Selangor.

Ahmad Maslan berkata malah rakyat kini boleh menilai segala pembaharuan yang dibawa oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sejak menerajui kepimpinan negara, termasuk gagasan 1Malaysia, Pelan Tranformasi Kerajaan dan Model Ekonomi Baru.

Beliau berkata sama ada bekas PKR hendak menyertai Barisan Nasional (BN) atau terus kekal menjadi ahli bebas, ia adalah hak mereka.

"Bagi BN, kita tidak mempunyai halangan," katanya.

Artikel Lain