suria

Kawasan Menunggu Dicadang Untuk Atasi Kesesakan Di Pintu Sempadan

PADANG BESAR: Sebuah kawasan menunggu untuk kenderaan dicadangkan dibina di laluan kargo bagi mengatasi kesesakan di pintu sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri Perlis Ahmad Bakri Ali berkata kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan pusat.

Antara punca kesesakan di pintu masuk sempadan ialah apabila terdapat kenderaan muatan kargo yang memasuki negara ini tidak mempunyai dokumen lengkap dan terpaksa menunggu lama sehingga dokumen yang diperlukan diperoleh.

Kesan daripada itu, berlaku deretan panjang kenderaan di laluan masuk ke negara ini, katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat bersama agensi kerajaan berkaitan sempadan di sini hari ini.

Mesyuarat kali pertama yang membabitkan 23 jabatan dan agensi kerajaan itu antara lain memberi fokus ke arah menggalakkan kemasukan pelancong di samping mengawal kegiatan pencerobohan manusia.

Bagi memudahkan pelancong yang baru memasuki negara ini melalui Thailand mendapatkan maklumat mengenai tarikan pelancong di Perlis, Ahmad Bakri berkata sebuah Pusat Maklumat Pelancongan akan dibina berhampiran pintu sempadan Padang Besar.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan melakukan penambahbaikan Kompleks Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan pembinaan pintu pagar selain melengkapinya dengan kamera litar tertutup. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wee Choo Keong Keluar PKR

Artikel Lain