suria

DAP Harapkan Keajaiban Politik Untuk Menang Di Sibu

SIBU: DAP berharap keajaiban politik akan berlaku bagi membolehkan mereka memenangi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu 16 Mei ini.

Pemimpin kanan dan anggota Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini berkata parti itu menghadapi laluan sukar untuk berdepan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil ini.

Beliau malahan meramalkan peluang DAP untuk menang hanya 40 peratus.

"Pertarungan untuk abad ini telah bermula dan kami mahu penduduk Sibu untuk bersuara," katanya pada sidang akhbar yang diadakan selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu selesai hari ini.

DAP mencalonkan Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April lepas.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Wong, calon BN Robert Lau Hui Yew dan calon Bebas Narawi Haron.

Sementara itu, Narawi ketika ditemui sebelum menghantar borang pencalonannya berkata keputusannya untuk bertanding adalah untuk menilai popularitinya.

"Saya mahu tengok berapa undi yang akan saya perolehi kali ini berbanding pilihan raya negeri yang lepas," katanya.

Narawi pernah bertanding untuk kerusi Parlimen Sibu pada 1995 di mana beliau hanya memperoleh 975 undi dan hilang wang pertaruhan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain