suria

Kereta Terbakar Semasa Dibaiki

IPOH: Seorang wanita terpaksa berputih mata menyaksikan kereta Toyota Estima miliknya hangus di depan mata semasa ia sedang dibaiki oleh seorang mekanik hari ini.

Norlaila Zakaria, 34, bagaimanapun bersyukur kerana kenderaannya itu tidak terbakar semasa sedang dipandu.

"Kejadian berlaku begitu pantas namun mujurlah ia tidak terbakar semasa saya sedang memandu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di Jalan Simpang Pulai-Ipoh kira-kira pukul 11.45 pagi tadi.

Beliau berkata sebelum kejadian itu, enjin kenderaannya tiba-tiba berhenti mengejut.

"Selepas lebih 10 minit, ada mekanik datang membantu untuk menghidupkan semula kereta tetapi percikan api keluar di bahagian depan dan tidak sampai beberapa saat kemudian, api mulai marak," katanya.

Norlaila berkata mekanik terbabit berusaha memadamkan kebakaran itu menggunakan alat pemadam apai tetapi tidak berjaya.

Kejadian itu menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih 20 minit sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai tiba untuk memadamkan api. - BERNAMA

Artikel Lain