Cara Australia Melayani Orang Kurang Upaya... - Semasa | mStar

Cara Australia Melayani Orang Kurang Upaya...

BIASANYA di hujung setiap minggu saya akan membawa keluarga saya ke tempat-tempat yang boleh kami sekeluarga beristirehat. Rasa rugi pula jika tidak menerokai Australia yang penuh dengan pelbagai tempat menarik.

Baru-baru ini kami memilih untuk berBBQ di tepian pantai, lokasi yang dipilih kali ini ialah Willamstown, sebuah kawasan bersejarah serta penempatan awal manusia di Melbourne.

Ketika sedang berseronok bermain di persisiran pantai, tiba-tiba datang sekumpulan orang yang turun dari sebuah van putih, terus menuju ke tempat berhampiran kami. Pada mulanya saya ingat mereka ini adalah sekeluarga, sepeti kami, datang untuk beriadah, rupanya sangkaan saya meleset sama sekali.

Kumpulan ini terdiri daripada pelbagai latarbelakang. Ada yang tua, ada juga yang muda dan berbeza keturunan. Setelah diamati betul-betul mereka semua adalah dari golongan orang kurang upaya, fizikal dan juga mental.

Secara automatis lagu Namun Ku Punya hati nyanyian Revolver seolah-olah berputar-putar di telinga saya. Apatah lagi, apabila mengenangkan nasib mereka yang sama di Malaysia.

Tidak ada siapa yang meminta agar dilahirkan cacat ataupun berdoa untuk menjadi kurang sempurna. Ini bukan satu pilihan, tapi ia adalah takdir, namun begitu, sejauh manakah takdir ini kita boleh garap menjadi positif.

Di Australia golongan OKU ini tidak pernah dipinggirkan dalam masyarakat. Mereka tidak pernah disembunyikan di dalam almari. Malah diberi sebanyak pendedahan yang mungkin. Ini bukan bermakna, keluarga mereka merasa bangga dengan kewujudan ahli keluarga yang cacat, tetapi sikap tidak menyesali ataupun malu dengan anugerah Ilahi itulah yang perlu dipuji.

Hakikatnya, mereka bukannya sakit, kerana tiada ubat yang boleh menyebuhkan mereka, tetapi dugaan dalam menempuh ranjau kehidupan yang diberikan, hendaklah disemai dengan kekuatan semangat dan latihan yang sewajarnya. Agar kekurangan yang ada boleh ditransformasikan menjadi sesuatu yang istimewa.

Kerajaan pimpinan Rudd, begitu perihatin terhadap kebajikan rakyatnya. Ketika dalam kandungan lagi sudah diuji janin tersebut untuk mengenal pasti jika terdapat sebarang kecacatan. Jika didapati ada kemungkinan kecacatan pada bayi tersebut, ibu-bapa akan dimaklumkan serta diberi kaunseling permulaan.

Tujuannya ialah agar ibu-bapa bayi tersebut bersiap-sedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Selepas dilahirkan anak tersebut akan sentiasa dipantau perkembangannya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat tempatan.

Bantuan kewangan serta sokongan moral sentiasa dihulurkan. Yang menariknya, pada setiap hujung minggu, mereka ini akan dibawa keluar ditemani para sukarelawan yang terlatih untuk bersiar-siar sepertimana manusia normal yang lain.

Tujuannya ialah untuk memberikan mereka pendedahan terhadap kehidupan dunia realiti sambil memberi ruang untuk ibu-bapa mereka menggendurkan sedikit ketegangan dan berehat seketika (stress release).

Kemudahaan dan keselesaan untuk golongan ini sentiasa diambil kira. Prasarana yang sesuai sentiasa dipertingkatkan. Terutamanya sistem pengangkutan awam yang amat mesra dengan keperluan OKU.

Menariknya di sini, terdapat teksi yang direka khas untuk kegunaan mereka yang berkerusi roda agar memudahkan pergerakan mereka. Gerabak kereta api juga disediakan kemudahan khas untuk golongan ini, malah koc pertama sentiasa diperuntukan untuk golongan istimewa ini, agar mereka dapat merasai keselesaan sama seperti orang lain.

Ironinya, kerajaan tidak sentiasa memanjakan mereka. Golongan ini sentiasa diajar untuk berdikari, malah diajar bagaimana caranya untuk survive jika kaum keluarga sudah tiada.

Misalnya di hadapan rumah saya, terdapat penempatan bagi dua orang yang mengalami kecacatan fizikal yang kronik. Lumpuh hampir keseluruhan badan. Bergerak hanya bergantung kepada kerusi roda elektronik.

Seorang masih lagi boleh mengawalnya dengan tangan, seorang lagi mengawalnya dengan tolakan dagu. Setiap hari akan ada dua syif sukarelawan terlatih datang ke rumah tersebut. Tugas mereka ialah untuk membersihkan rumah, menukar lampin serta menyediakan makanan untuk dua orang kurang upaya ini.

Dan seminggu sekali mereka juga akan ditemani untuk melakukan shopping sendiri dengan menggunakan pengankutan awam. Bukan tujuan saya untuk mempelekehkan negara sendiri, tapi sekadar perbandingan agar dapat sistem yang ada sekarang dikemaskini dan kita tidak alpa akan keperluan dan kehendak golongan ini.

Tapi yang pasti, bagi saya, istilah Orang Kurang Upaya (OKU) harus dihapuskan dan diganti dengan istilah yang lebih bermotivasi positif tanpa adanya elemen merendah diri. Mereka ini, walaupun tidak sesempurna orang biasa, adalah insan istimewa yang tetap mengharapkan ada sedikit ruang bagi mereka di hati insan-insan lain.Walaupun kelihatan berbeza dari segi paras rupa, mereka juga pandai ketawa, menangis dan merasa kecewa.

Tanpa betul-betul mendekati, bermesra dan melayan mereka, tidak ada sesiapa menyangka keistimewaan yang mereka miliki. Maka itu janganlah disebabkan kesempurnaan yang Ilahi kurniakan, kita lupa mereka sebenarnya insan istimewa yang kadang-kala dipinggirkan oleh masyarakat sendiri.

Mereka juga perlukan pembelaan. Pandanglah mereka dengan mata hati bukan dengan buta hati.

DR AHMAD ZAHARUDDIN SANI merupakan Honarary Visiting Academician di University of Melbourne. Beliau boleh dihubungi menerusi email asani@unimelb.edu.au

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

Artikel Lain