suria

Perjuangan Mempertahan Bangsa Nusantara Perlu Diperhebatkan - Rais

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata perjuangan bangsa nusantara antara Malaysia dan Indonesia perlu diperhebatkan lagi mencakupi bidang teknologi maklumat.

Rais berkata sudah sampai masanya Malaysia dan Indonesia memperjuangkan apa yang hak bagi mereka di rantau ini kerana kedua-dua negara terbukti mempunyai persamaan budaya malah turut memainkan peranan penting di dalam Asean.

"Dapat kita rumuskan bahawa pada malam ini agenda kita adalah memperjuangkan sesuatu yang telah dijalin menerusi sejarah, budaya, urusniaga dan perjuangan bersama yang boleh dikatakan sebagai kenusantaraan.

"Harap pertemuan ini dapat membincangkan bagaimana kita dapat mengeratkan lagi perjuangan bersama menerusi informasi, informatika, budaya dan khususnya dalam hal-hal berkaitan teknologi maklumat yang boleh membangunkan kita untuk berjuang bersama demi kepentingan kita di khalayak nusantara," katanya ketika berucap pada majlis makan malam meraikan Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Indonesia Tifatul Sembiring sempena mesyuarat Jawatankuasa Bersama Dalam Bidang Penerangan dan Komunikasi (JCICM) 2010 di sini, malam tadi.

Hadir sama isterinya Datin Seri Masnah Rais, Timbalannya Datuk Joseph Salang Gandum dan Senator Heng Seai Kie dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Kamaruddin Siaraf.

Rais berkata di dalam Asean, tidak ada lagi negara selain Malaysia dan Indonesia yang mempunyai bahasa yang begitu besar penuturnya kerana jika dicampurkan penggunaannya di Brunei, Singapura dan Selatan Thailand bahasa kedua-dua negara ini mencantumkan lebih daripada 300 juta orang penutur.

Beliau berkata hakikat tersebut perlu diterjemahkan ke dalam perjuangan global dan dengan kecanggihan teknologi maklumat ketika ini perlu dipergunakan sebaik mungkin untuk menterjemahkan apa yang diperjuangkan selama ini.

"Jadi pertemuan pada JCICM menjadi satu cantuman semula bagaimana urusan bangsa Indonesia dan Malaysia dapat bercantum untuk kita bersama-sama perjuangkan apa yang tersurat dan tersirat," katanya.

Tifatul pula berkata, bagi mempertahankan persaudaraan dan perjuangan bangsa kedua-dua negara perlu mempunyai kerjasama erat agar apa yang diperjuangkan dapat dipertahankan bersama.

"Persaudaraan, sejarah dan kebudayaan sangat sayang untuk dilupakan dan sangat rugi jika tidak dilakukan suatu kerjasama untuk pertahankannya. Jangan lupa betapa kita perlu pertahankan identiti kita sebagai bangsa Melayu supaya tidak habis dibawa budaya mendatang dan bangsa lain dengan berkembangnya teknologi," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertahan Nik Aziz

Artikel Lain