suria

Ibrahim Ali Saman The Sun

SHAH ALAM: Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali hari ini memfailkan saman terhadap akhbar berbahasa Inggeris The Sun dan dua yang lain kerana didakwa menyiarkan artikel berunsur fitnah terhadapnya dan Sultan Selangor pada 17 Mac lalu.

Saman itu telah difailkan melalui firma guaman Tetuan Salehuddin Saidin & Associates di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 9.25 pagi tadi.

Selain menuntut ganti rugi yang akan ditentukan oleh mahkamah, Ahli Parlimen Pasir Mas itu itu juga menuntut permohonan maaf secara terbuka dan perintah injunksi bagi melarang akhbar itu daripada terus menyuarkan berita seperti itu.

Selain Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pengarang Kumpulan The Sun , Ibrahim juga menamakan wartawan Terence Fernandez dan pencetak serta pengedar akhbar berkenaan, Sun Media Corporation Sdn Bhd, sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ibrahim berkata defendan pada 17 Mac lepas telah menerbit dan menyiarkan artikel mengandungi perkataan bersifat fitnah berkenaan beliau di bawah tajuk "Sultan Keeps Perkasa Guessing On Invitation."

Akhbar itu didakwa menyiarkan laporan berunsur fitnah bahawa Ibrahim dan Perkasa tidak mendapat perkenan Sultan Selangor bagi merasmikan mesyuarat agung badan itu di Kuala Lumpur pada akhir bulan lalu.

Beliau mendakwa artikel itu secara kiasannya memberikan maksud bahawa antara lain pertubuhan itu adalah sebuah organisasi yang menunjukan semangat yang melampau dalam memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum ataupun golongan tertentu dan beliau adalah seorang ketua kumpulan cauvinis.

Ibrahim berkata penerbitan artikel itu telah merosakkan reputasinya sebagai seorang anggota Parlimen dan menjejaskan kerjaya, perwatakan, moral, nama baiknya serta membawa beliau ke dalam skandal awam, kebencian, penghinaan, ejekan dan cemuhan.

Katanya pihak defendan tidak ada fakta yang mencukupi untuk membuat komen, pendapat, kesimpulan, campur tangan, kritikan atau tinjauan terhadap artikel terbabit selain bertindak dengan niat jahat apabila menyiarkan artikel itu.

Katanya pada 22 Mac lalu, beliau telah menuntut pihak defendan menarik balik pernyataan yang didakwa memfitnah itu, meminta maaf dan membayar ganti rugi tetapi pihak defendan enggan mengambil tindakan tersebut.

Ibrahim, yang ditemani peguamnya, Datuk Salehuddin Saidin ketika ditemui pemberita, berkata beliau memfailkan saman itu kerana mendakwa artikel terbabit cuba melaga-lagakan PERKASA dengan Sultan Selangor.

"Dakwaan itu serius kerana membabitkan Sultan dan nama baik Perkasa. Kami ingin tegaskan bahawa Perkasa bukan pertubuhan yang bersifat perkauman," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain