suria

Pemandu Lori Dipenjara 14 Tahun Sebabkan Kematian Lelaki Tiga Tahun Lalu

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori dihukum penjara 14 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menyebabkan kematian seorang lelaki, tiga tahun lepas.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin membuat keputusan itu terhadap Shahrun Ahmad Talat setelah menimbang semua hujah yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan.

Dalam penghakimannya, Ahmad Kamar berkata, kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah serius kerana ia membabitkan kecederaan yang membawa maut.

"Kehilangan nyawa tidak dapat diganti dengan hukuman penjara yang dikenakan terhadap tertuduh dan hukuman yang dikenakan (penjara 14 tahun) adalah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan," katanya.

Menurutnya, mahkamah memang mengambil kira faktor kepentingan awam tetapi dalam kes ini mahkamah juga mengambil kira kepentingan individu berdasarkan fakta kejadian.

Shahrun, 27, dari Selayang bersama-sama lima orang yang masih bebas didakwa dengan niat menyebabkan kematian Qamarul Arifin Mohd Rodhi, 20, (umur semasa kejadian) iaitu dengan mendatangkan kecederaan di bahagian kepala mangsa di satu kawasan di Segambut, Sentul pada 11 malam, 29 Mac 2007.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Berdasarkan fakta kes, Shahrun dan lima orang yang masih bebas telah memukul Qamarul dengan menghentak kepala mangsa sebanyak satu kali dengan kotak motosikal dan membelasah mangsa menggunakan kaki dan tangan di rumah mangsa di Blok B-2-21, Taman Aman Putra, Jinjang Utara pada waktu dan tarikh yang sama.

Selepas itu, mereka telah membawa mangsa ke satu tempat yang tidak dapat dikenal pasti dan membelasah mangsa dengan menumbuk dan menendang mangsa.

Mangsa kemudiannya dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur dan telah disahkan dalam keadaan koma dan meninggal dunia pada 28 April 2007. Seramai 10 orang saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dzul Iswari Mohd Jaafar manakala tertuduh diwakili Peguam Rezal Mazli Abdul Muin. - BERNAMA

Artikel Lain